Wednesday 26 March 2014

Penentang kuasai kubu kuat Bashar


Beirut: Kumpulan penentang rejim Syria semalam menawan sebuah kampung tepi pantai Mediterranean ketika mereka mara untuk mengukuhkan kehadiran mereka di kubu kuat tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad berhampiran sempadan Turki.

Penawanan Samra di wilayah Latakia itu dicapai sehari selepas penentang yang berusaha menggulingkan Bashar menguasai kawasan sekitar Kasab, pos seberang sempadan terakhir dengan Turki yang dikuasai rejim itu.

Sebagai tindak balas, tentera Bashar mengebom kedudukan penentang di wilayah pantai barat laut itu yang menjadi tumpuan penduduk Syiah dan tempat pertempuran sengit meletus sejak Jumaat lalu.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, penentang yang terdiri daripada pejuang Barisan Al-Nusra menguasai Kampung Samra itu awal semalam.

“Pertempuran sengit meletus di pinggir kampung itu,” kata pengarah kumpulan pemerhati itu Rami Abdel Rahman.

Samra terletak di lembah antara sempadan Turki dan memberikan penentang akses ke laut.

Latakia begitu penting kerana lokasinya di kawasan pantai dan menjadi tumpuan penduduk Syiah Syria dan suku Bashar.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

No comments:

Post a Comment