Wednesday 30 April 2014

59 terkorban dalam serangan bom mortar di Syria


DAMSYIK 29 April - Sekurang-kurangnya 59 orang terbunuh di Damsyik dan Homs, hari ini ketika pemerhati antarabangsa berjanji akan menyiasat serangan gas klorin yang didakwa berlaku di negara ini.
Awal pagi ini, beberapa bedilan bom mortar dilancarkan oleh penentang kerajaan di sebuah kawasan perumahan di ibu negara ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban.
"Sebanyak 86 orang lagi cedera di kampung Shaghur," lapor agensi berita SANA.
Serangan itu turut mengenai sebuah sekolah perundangan Islam. Salah seorang pelajar di sekolah itu berumur 14 tahun, bagaimanapun, masih tidak dapat disahkan sama ada pelajar berkenaan adalah antara mereka yang terkorban.
Beberapa jam kemudian, sebuah kereta meletup di kawasan yang dipenuhi dengan orang ramai di Zahra, Homs, diikuti serangan roket tidak lama kemudian di kawasan yang sama.
Gabenor Homs, Talal Barazi berkata, 36 orang terkorban dalam letupan kereta itu dan sembilan lagi dalam serangan roket.
"Roket berkenaan dilancarkan kira-kira setengah jam selepas kejadian letupan bom berlaku di kawasan tersebut," jelas Talal.
Awal bulan ini, rejim Bashar Al-Assad melancarkan serangan ke atas kawasan yang didiami penentang kerajaan di ibu negara ini.
Dalam perkembangan berasingan, Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) berkata,u mereka akan menjalankan pemeriksaan terhadap dakwaan tentera Syria menggunakan gas klorin untuk menyerang rakyatnya sendiri.- REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140430/lu_07/59-terkorban-dalam-serangan-bom-mortar-di-Syria#ixzz30NBgmEIC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment