Wednesday 30 April 2014

Majlis Keselamatan digesa sekat senjata Syria


Beberapa orang anggota pertahanan awam Syria mengangkat mayat seorang lelaki yang terbunuh dalam serangan tentera udara Syria di Aleppo, kelmarin. - AGENSI
BEIRUT 29 April - Sebuah pertubuhan hak asasi manusia, hari ini menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan bekalan senjata ke atas tentera Syria ekoran tindakan mereka sering melancarkan serangan secara samborono.
Gesaan kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) itu dikeluarkan, sehari selepas pakar undang-undang mendesak PBB memberi bantuan kepada kawasan yang ditawan kumpulan penentang tanpa perlu menimbangkan bantahan daripada kerajaan Syria.
Kumpulan hak asasi itu berkata, sebanyak 85 serangan udara tentera Syria dilancarkan ke atas kawasan penentang di utara wilayah Aleppo sejak 22 Februari lalu.
Mereka menggesa PBB menutup saluran bekalan senjata kepada tentera kerajaan Syria serta mana-mana kumpulan yang menggunakan senjata ke atas orang awam dalam perang saudara di negara itu yang setakat ini telah menyebabkan kira-kira 150,000 orang terbunuh dalam tempoh tiga tahun.
“Majlis Keselamatan PBB sepatutnya mengenakan sekatan senjata ke atas kerajaan Syria serta kumpulan yang melanggar undang-undang hak asasi manusia," kata HRW dalam satu kenyataan.
Menurut HRW, serangan yang sering melibatkan bom dilaporkan digunakan sewenang-wenangnya tanpa sebarang sekatan.
Tambah kumpulan itu, sasaran serangan tentera kerajaan juga gagal membezakan antara kumpulan penentang dan orang awam.
“Namun, tindakan tentera itu terus berlarutan, walaupun Resolusi Majlis Keselamatan PBB sebulat suara menuntut supaya semua pihak di Syria berhenti menggunakan tong-tong bom dan senjata lain sesuka hati di kawasan penempatan orang ramai," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, sebanyak 12 orang terbunuh, manakala 50 yang lain cedera dalam satu serangan bom mortar di sebuah institut teknikal di Damsyik, hari ini, lapor media tempatan, SANA.
“Seramai 12 orang terkorban dan 50 orang tercedera dalam serangan ganas menggunakan empat bom mortar yang menyasarkan kawasan penempatan Shaghour," menurut laporan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140430/lu_09/Majlis-Keselamatan-digesa-sekat-senjata-Syria#ixzz30NBXqgz9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment