Tuesday 22 April 2014

Al-Sisi bakal ditentang pemimpin haluan kiri


SABBAHI


KAHERAH - Bekas ketua tentera Mesir, Abdel Fateh al-Sisi akan ditentang oleh seorang ahli politik berhaluan kiri, Hamdeen Sabbahi pada pilihan raya presiden negara itu yang akan diadakan pada 26 dan 27 Mei depan.
Namun, al-Sisi dijangka tidak berdepan kesukaran menghadapi lawannya itu ekoran beliau mendapat sokongan majoriti rakyat Mesir selepas menumbangkan Presiden sebelum ini, Mohammed Morsi.
Sekiranya beliau menang, al-Sisi akan meneruskan tradisi Presiden Mesir yang dipilih dalam kalangan ketua tentera sejak monarki negara itu digulingkan pada tahun 1952.
Sabbahi menduduki tempat ketiga pada pilihan raya Presiden pada 2012 yang dimenangi Morsi.
Beliau kini dianggap calon tunggal pada pilihan raya kali ini yang mewakili inspirasi rakyat yang bangkit menumbangkan pemerintahan diktator, Hosni Mubarak pada 2011.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin tidak akan bertanding dalam pilihan raya ini selepas diharamkan kerana didakwa sebuah pertubuhan pengganas.
Beberapa pemimpin utama pergerakan itu kini dipenjarakan manakala anggotanya yang lain dihalang daripada menjadi calon pilihan raya.
Morsi digulingkan tentera selepas bantahan besar-besaran rakyat negara ini yang menentang beberapa dasar pemimpin itu termasuk setiap keputusan beliau yang tidak boleh dicabar di mahkamah.
Mesir yang mempunyai penduduk teramai di dunia Arab, berdepan keganasan yang melanda negara itu sejak kejatuhan Morsi pada tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2zZ5knvep 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment