Thursday 12 June 2014

Bashar al-Assad dahului senarai penjenayah perang


Gambar fail bertarikh 11 Jun lalu merakamkan seorang anggota keselamatan mengangkat seorang lelaki yang cedera apabila tentera kerajaan melancarkan serangan udara di Aleppo, Syria. - AFP
GENEVA 11 Jun - Presiden Syria, Bashar al-Assad menduduki tempat teratas dalam satu senarai 20 individu yang akan didakwa terbabit dengan jenayah perang melibatkan pegawai kerajaan dan pemberontak yang dirangka pakar pendakwaan, kata seorang bekas pendakwa raya jenayah perang antarabangsa, semalam.
Senarai itu telah dihantar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menyebut setiap kejadian membabitkan pencabulan secara khusus piagam Rom di mana seseorang suspek itu boleh didakwa di ICC, menurut David Crane, seorang bekas ketua pendakwa raya Mahkamah Khas bagi Sierra Leone dan kini mengetuai Projek Akauntabiliti bagi Syria.
Satu pasukan penyiasat berasingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyediakan empat senarai sulit suspek jenayah perang daripada semua pihak di Syria, namun enggan mendedahkan nama mereka yang terlibat.
Crane berkata, senarai itu disusun oleh kumpulannya yang terdiri daripada mereka yang pakar termasuk beberapa anggota tentera Syria dan anggota politik elit serta kumpulan pemberontak Islam ISIS dan barisan al-Nusra, walaupun dia tidak memberikan nama lain selain Assad.
"Kita mempunyai kira-kira 20 dakwaan membabitkan mereka yang paling bertanggungjawab. Ini merupakan satu usaha berkecuali. Kami bukan hanya mengejar Assad dan orang kanannya, kami sebenarnya mendokumenkan semua kejadian jenayah perang daripada kedua-dua pihak," kata Crane kepada Reuters.
Crane berkata demikian selepas mengambil bahagian dalam satu perbincangan panel mengenai penderaan dan jenayah lain yang dilakukan di pusat-pusat tahanan semasa perang saudara di Syria yang bermula dengan demonstrasi aman anti-Assad pada Mac 2011.
Beberapa imej yang dirakamkan oleh seorang jurugambar polis tentera Syria yang diterbitkan pada Januari lalu menunjukkan berlaku penyeksaan yang sistematik dan pembunuhan kira-kira 11,000 tahanan yang menyamai kem maut Nazi, kata beberapa bekas pendakwa raya termasuk Crane.
Crane yang merupakan seorang profesor di Kolej Universiti Undang-Undang Syracuse di New York, Amerika Syarikat, melancarkan Projek Akauntabiliti bagi Syria pada 2011 untuk mendokumenkan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh semua pihak dalam konflik di Syria.
Ia kini mempunyai 1,400 muka surat membabitkan dakwaan yang boleh dipercayai, dengan tarikh, tempat dan jumlah mereka yang disyaki terlibat melakukan jenayah, katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140612/lu_04/Bashar-al-Assad-dahului-senarai-penjenayah-perang#ixzz34NeO9qsw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment