Saturday 21 June 2014

Indonesia bimbang rakyat pulang dari Syria, Iraq jadi pengganas


REUTERS
SEORANG pejuang ISIL berkawal dekat bandar Baiji di utara Baghdad kelmarin.


JAKARTA - Tindakan rakyat Indonesia menyertai perang di Syria dan Iraq mencetuskan kebimbangan mereka akan menghidupkan semula rangkaian militan apabila pulang ke tanah air. Ia sekali gus menjejaskan usaha pemerintah yang telah melumpuhkan kebanyakan kumpulan pengganas paling merbahaya di negara itu.
Sokongan kepada kumpulan radikal seperti Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) yang kini menguasai utara Iraq semakin bertambah dalam kalangan golongan ekstremis Indonesia dengan berpuluh-puluh orang telah menyertai ISIL.
Beberapa penganalisis berkata, pejuang itu akan mencetuskan ancaman baharu dan serius ke atas Indonesia apabila mereka pulang bersama taktik pemberontakan gerila dan hubungan dengan militan antarabangsa.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menganggarkan seramai 60 warga Indonesia telah berkunjung ke Syria dan Iraq untuk berjuang manakala beberapa pakar memberitahu, jumlah mereka hampir 100 orang dan meningkat dengan pantas.
Setakat ini, tiada undang-undang melarang rakyat Indonesia daripada menyertai kumpulan militan asing manakala beberapa pertubuhan Islam pula mula mengutip derma secara terbuka untuk ISIL.
"Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang meletakkan kesalahan jenayah ke atas rakyat yang menyokong dan melakukan perjalanan ke seberang laut untuk menyertai kumpulan pengganas," kata pakar keganasan Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, Rohan Gunaratna.
Beliau dan beberapa penganalisis lain memandang positif tindakan lebih aktif Malaysia menangkap 12 lelaki yang cuba meninggalkan negara untuk berperang di Syria April lalu.
Menurut beberapa pakar berkenaan, organisasi militan memujuk golongan belia untuk bersimpati dan menyertai perjuangan mereka menggunakan teknologi maklumat seperti internet.
Kelmarin, laman perkongsian video YouTube menarik balik sebuah video daripada dua salurannya.
Rakaman itu memaparkan lima lelaki Indonesia yang mendakwa berada di Syria meminta rakyat negara itu supaya menyertai perjuangan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0621&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz35E8mLqMt 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment