Wednesday 4 June 2014

Serangan udara cemari pilihan raya Syria


Tiga orang kanak-kanak diselamatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam ketika satu serangan udara tentera Syria dilancarkan di kawasan perumahan al-Shaar, di Aleppo, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 3 Jun - Lebih 15 juta rakyat Syria mengundi untuk pilihan raya Presiden, semalam, dalam satu proses pemilihan yang dilihat bakal memberi kemenangan besar kepada penyandang jawatan itu, Bashar al-Assad ketika kumpulan penentang hanya mampu melihat proses tersebut.
Pilihan raya itu mengundang kontroversi selepas hanya dijalankan di kawasan yang dikuasai tentera kerajaan sekali gus disifatkan kumpulan penentang sebagai satu 'sandiwara' yang akan memanjangkan lagi tempoh kekejaman di negara itu selepas tiga tahun.
Sebanyak 11,000 peti undi disediakan di lebih 9,000 pusat saluran mengundi yang dibuka bermula dari pukul 7 pagi waktu tempatan hingga pukul 7 malam.
Assad mengundi di Maliki, kawasan perumahan di tengah Damsyik bersama isterinya, Asma al-Assad.
Bagaimanapun, proses pemilihan itu dicemari dengan tindakan tentera Syria mengebom kawasan dikuasai kumpulan penentang di wilayah Aleppo termasuk pertempuran sengit di Hama, Damsyik, Idlib dan Daraa.
Assad dalam pada itu, dicabar dua pesaing kurang terkenal iaitu, Maher al-Hajjad dan Hassan al-Nuri yang hanya berkempen dengan tidak selalu mengkritik Assad, bimbang dikaitkan dengan kumpulan penentang dengan mereka memberi tumpuan hanya pada isu rasuah dan dasar ekonomi.
Secara teori, pilihan raya itu adalah yang pertama dalam tempoh 50 tahun di Syria, dengan Assad dan bapanya memperbaharui mandat pentadbiran mereka menerusi proses pungutan suara.
Pemerhati luar dari dalam kalangan pakatan kerajaan Syria iaitu Korea Utara, Iran dan Rusia turut dijemput bagi memantau pilihan raya itu yang diadakan dalam kawalan keselamatan yang ketat bagi mengelak serangan ke atas pengundi dan pusat pengundian. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140604/lu_05/Serangan-udara-cemari-pilihan-raya-Syria#ixzz33cHYdB7N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment