Saturday 5 July 2014

Britain pernah rancang latih 100,000 penentang Syria


LONDON 4 Julai - Britain pernah merangka rancangan untuk melatih kira-kira 100,000 anggota kumpulan penentang Syria untuk menggulingkan Presiden, Bashar al-Assad, namun rancangan itu tidak dilaksanakan kerana ia dianggap terlalu berisiko.
Portal berita al-Arabiya yang memetik laporan stesen televisyen BBC Newnight semalam melaporkan rancangan tersebut dikemukakan dua tahun lalu dan merupakan idea ketua pasukan pertahanan Britain ketika itu, Jeneral David Richards.
BBC yang memetik sumber Whitehall melaporkan, rancangan rahsia untuk ‘mengeluar, melengkapkan, melatih’ itu pernah dikemukakan kepada Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Majlis Keselamatan Negara serta pegawai-pegawai Amerika Syarikat (AS), tetapi ia kemudian ditolak.
Rancangan tersebut jika dilaksanakan akan menyaksikan pembentukan pasukan tentera terdiri daripada penentang Syria yang berfahaman sederhana dilatih di pangkalan tentera di Turki dan Jordan.
Beberapa pihak percaya peluang untuk melaksanakan inisiatif tersebut telah berlalu.
Kumpulan pemikir daripada Institut Kesatuan Perkhidmatan Diraja, Profesor Michael Clarke berkata, mereka terlepas peluang untuk melatih pasukan tentera anti-Assad yang akan mempunyai pengaruh di Syria apabila beliau digulingkan.
"Saya rasa terdapat peluang untuk terlibat secara positif dua atau tiga tahun lalu, namun ia sangat berbahaya, selain kos dan keadaan ketidaktentuannya sangat tinggi,’’ katanya kepada BBC.
Kira-kira 400 warga Britain dipercayai menyertai pertempuran di Syria, tindakan yang merupakan satu jenayah di bawah undang-undang keganasan United Kingdom.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140705/lu_06/Britain-pernah-rancang-latih-100000-penentang-Syria#ixzz36XYtUaDa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment