Wednesday 9 July 2014

Konflik Syria: Sikap PAS


DR SYED AZMAN SYED AHMAD | .

Tuan Guru Abdul Hadi ketika berucap dalam persidangan di Istanbul, Jun lalu. 
PADA persidangan gerakan Islam yang berlangsung di Istanbul awal Jun lepas, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi membuat penegasan bahawa PAS  bersama dengan gerakan Islam di seluruh dunia bagi mengutuk segala bentuk kekejaman dan kezaliman yang berlaku di Syria.

Mengikut laporan pelbagai sumber, ribuan orang awam terbunuh akibat dari konflik yang bermula dengan demonstrasi aman yang bertukar menjadi pertempuran bersenjata.

Dianggarkan purata 40 rakyat awam Syria mati dalam tempoh sehari dan sekiranya konflik berdarah ini berterusan tanpa sebarang penyelesaian, angka kematian dan kecederaan akan terus meningkat.

Konflik yang berlangsung hampir tiga tahun itu telah meragut lebih 200,000 nyawa rakyat awam Syria termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Jumlah pelarian rakyat Syria kini melebihi tiga juta yang terpaksa tinggal di khemah-khemah pelarian di Turki, Lubnan, Jordan dan di dalam negara mereka sendiri.

Dalam persidangan tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi juga telah membuat penegasan bahawa semua kuasa asing khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya serta Rusia dan sekutunya, yang masing-masing mempunyai kepentingan strategik di bumi Syria agar segera keluar dari negara yang terus bergolak itu dan menyerahkan penyelesaiannya kepada rakyat Syria sendiri untuk menentukan masa depan negara tersebut.

Namun terlalu banyak persoalan yang timbul dalam konflik Syria yang tidak menampakkan jalan penyelesaian ini. Antaranya;

i. Apakah Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) benar-benar mahu membantu rakyat Syria dan mengembalikan keadilan serta menjadikan Syria sebagi sebuah negara yang Demokratik?

ii. Apa pula peranan negara-negara berfahaman Sunni di Teluk seperti Qatar, Kuwait, UAE dan Arab Saudi dalam konflik Syria ini? Apakah mereka juga benar-benar mahu menumbangkan regim Assad dan melihat Syria menjadi sebuah ‘negara Sunni’ yang mengamalkan sistem demokrasi tulen dengan membenarkan parti-parti Islam termasuk Ikhwan Muslimin Syria mendapat kuasa secara demokratik seperti mana yang telah berlaku di Tunisia, Maghribi dan Mesir?

iii. Apakah pula peranan negara Zionis Israel yang bersempadan dengan Syria? Apakah mereka juga mahu rejim Assad jatuh dan akan merestui kelompok seperti ISIS, Al Qaeda atau Ikhwan Muslimin Syria mengambil alih kuasa di Syria?

iv. Bagaimana peranan negara Iran (Syiah) yang berjiran dengan Syria yang dilihat banyak memihak kepada kerajaan Bashar Al Assad dalam konflik berdarah ini? Apakah mereka juga akan turut terjebak di dalam konflik yang lebih parah lagi di Syria?

v. Bagaimana pula peranan kelompok-kelompok baru seperti ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) yang begitu terserlah penglibatan mereka sejak akhir-akhir ini di Syria? Apakah asal usul kelompok ini? Dan dari manakah persenjataan serta bantuan kewangan yang mereka dapat sehingga dapat menguasai sebahagian dari Syria?

vi. Dan apakah kesudahan penyelesaian Syria? Akan adakah kesatuan di kalangan rakyatnya, ataupun akan terus merebak menjadi konflik Mazhab Sunni-Syiah yang lebih parah dengan peranan yang dimaikan oleh kelompok yang keras seperti ISIS dan Al Qaeda?


CAMPUR TANGAN ASING

Pengalaman dan sejarah telah mengajar kita dengan melihat campur tangan Amerika dan sekutunya seperti mana yang berlaku di Iraq, Afghanistan dan terkini di Libya.
Kebimbangan Barat terhadap aspek kemanusiaan di Syria dan negara-negara umat Islam sebenarnya hanyalah helah mereka untuk mengembangkan pengaruh 'hegemoni' mereka di situ. Adalah jelas mereka kini 'melindungi cita-cita hegemoni' dan 'pecah dan perintah'untuk menguasai Syria di sebalik sikap anti-Assad serta 'ingin membantu' mereka.

Tujuan dan matlamat Amerika Syarikat dan sekutunya adalah jelas. Ia bukan untuk menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel dan sekutunya.

Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam. Mereka juga bermatlamat bagi menekan, melemah dan menghapuskan gerakan kebangkitan seperti Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah (daripada Syiah).

Tuan Guru Abdul Hadi di dalam persidangan itu juga telah membuat penegasan bahawa bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel.

Pergerakan Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dan bukannya negara-negara Teluk yang kaya seperti seperti Arab Saudi, UAE, Jordan mahupun Kuwait.

"Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat.

"Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya," ujar beliau memberi peringatan.

Seperti penegasan Presiden PAS, langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah di Syria hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan.

"Kalau mahu menghidupkan semula (campur tangan asing) dalam pergolakan di Syria, akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya,” tegas beliau.

Dan inilah yang sedang dan terus berlaku di Syria.

________________
Dr. Syed Azman Syed Ahmad ialah Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.

No comments:

Post a Comment