• Malaysia AirlinesMalaysia Airlines

SHAH ALAM - MAS menegaskan pelan laluan penerbangan MH004 dari Kuala Lumpur ke London yang terbang di ruang udara Syria pada 20 Julai 2014 adalah mengikut laluan yang diluluskan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Seperti notis kepada juruterbang yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Syria, ruang udara Syria tidak dikenakan sebarang sekatan.

"Pada sepanjang masa, MH004 berada dalam laluan diluluskan ICAO," menurut MAS dalam satu kenyataan, semalam.

MAS turut menegaskan keselamatan penumpang dan anak kapal syarikat itu adalah keutamaan tertingginya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab dakwaan menerusi akaun Twitter laman web pengesan penerbangan, Flightradar24 bahawa penerbangan MH004 memilih ruang udara Syria bagi mengelak daripada menggunakan ruang udara Ukraine susulan kejadian MH17.

Syria kini berdepan konflik perang saudara yang bermula sejak 2011, mengorbankan lebih 200,000 orang.

Bagaimanapun, pakar penerbangan sebelum ini menjelaskan penerbangan awam menggunakan laluan di atas kawasan konflik sepanjang masa namun laluan itu dianggap selamat kerana berada pada altitud tinggi.