Tuesday 8 July 2014

Tentera Syria kepung Aleppo


Beirut: Tentera Syria semalam dilapor mara memasuki Aleppo, dipercayai untuk mengepung bahagian yang dikuasai kumpulan penentang di bandar raya terbesar negara itu.

Sekiranya berjaya berbuat demikian, ia akan memberi tamparan hebat kepada penentang yang memasuki bandar raya di utara Iraq itu pada 2012.

Pengerusi Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria, Rami Abdurrahman berkata, Syria mengerah pasukan tambahan, termasuk unit elit dan anggota militan Syiah dari Lubnan, Hizbullah.

Abdurrahman dan juga seorang aktivis yang berpusat di Aleppo, Abu al-Hassan berkata, pertempuran semalam tertumpu di kawasan berhampiran sebuah pangkalan tentera yang ditawan penentang dua tahun lalu.

Tentera kerajaan minggu lalu menawan semula kawasan perindustrian penting, sekali gus mengecilkan lagi wilayah yang dikuasai penentang.

Ahad lalu, akhbar prokerajaan Al-Watan berkata, tentera yang setia kepada Presiden Bashar Al-Assad hampir mencapai kejayaan untuk mengusir penentang dari pangkalan tentera di timur laut bandar berkenaan.

Kumpulan Sunni itu yang berusaha menggulingkan Bashar, menguasai bahagian timur Aleppo dan beberapa daerah di utara sementara tentera kerajaan menguasai sebahagian besar selatan bandar berkenaan serta beberapa daerah di barat.

Jurucakap kumpulan penentang, Luay Safi mendakwa tentera kerajaan di sekitar Aleppo bekerjasama dengan pejuang Negara Islam (IS).

Dia turut mengecam kegagalan Barat untuk menyokong Tentera Pembebasan Syria yang menentang tentera Assad dan juga IS.



“Hingga ke hari ini Amerika Syarikat masih menghalang penghantaran senjata canggih kepada Tentera Pembebasan Syria bagi menentang kekejaman Bashar dan kumpulan pelampau itu,” katanya.

IS menawan sejumlah besar wilayah di Syria dan Iraq, mengisytiharkan kerajaan khalifah Islam serta melantik ketuanya menjadi pemimpin semua umat Islam, minggu lalu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/08

No comments:

Post a Comment