Sunday 28 September 2014

Pemimpin kanan IS terbunuh di Syria


PENDUDUK Turki daripada etnik Kurdis (kiri) cuba merobohkan pagar sempadan dalam tunjuk perasaan membantah tindakan kerajaan Turki menghalang mereka memasuki Syria untuk membantu saudara-mara menentang militan IS yang semakin mara di bandar Kobani. - REUTERS


BEIRUT – Seorang anggota kanan kumpulan militan Negara Islam (IS) dipercayai terbunuh kelmarin dalam serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu di timur Syria, kata Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria semalam.
“Sebuah pesawat perang telah menembak sebuah motosikal yang ditunggang oleh dua orang lelaki yang cuba meninggalkan ibu pejabat IS di bandar Deir Ezzor,” kata Ketua badan itu, Rami Abdel Rahman kepada AFP.
“Salah seorang yang terbunuh merupakan pegawai penting dalam kumpulan militan IS dan dia berbangsa Arab,” katanya yang tidak memberitahu lanjut mengenai pemimpin kanan berkenaan serta peranannya dalam IS.
Menurut Rami lagi, IS mengawal banyak kawasan di wilayah Deir Ezzor yang bersempadan dengan Iraq itu. Serangan berkenaan menunjukkan bahawa sasaran terhadap kumpulan militan itu sememangnya dilakukan dengan teliti.
AS yang mengetuai serangan bersama pakatan negara-negara antarabangsa bagi menentang IS telah melancarkan bedilan ke atas kumpulan itu di Iraq sejak 8 Ogos lalu dengan hampir 200 serangan udara.
Selasa lalu, AS telah memperluaskan serangan ke Syria dengan penyertaan pesawat daripada lima negara iaitu Bahrain, Jordan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Dalam serangan terbaharu pada Jumaat lalu, sasaran turut ditumpukan kepada loji pengeluaran minyak yang dikawal oleh IS di wilayah Deir Ezzor dan Hasakeh. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3EZ1TNOBk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment