Sunday 28 September 2014

Barisan Al-Nusra ancam negara sekutu AS

DAMSYIK: Gerakan kumpulan militan Al-Qaeda di Syria, Barisan Al-Nusra Front, mengancam tindakan balas terhadap negara yang mengambil bahagian dalam serangan udara ke atas Negara Islam (IS), dan menyifatkannya sebagai perang terhadap Islam.
Jurucakap kumpulan, Abu Firas al-Suri, dalam rakaman video di internet semalam, berkata negara terbabit "melakukan perbuatan dahsyat yang akan meletakkan mereka dalam senarai sasaran pejuang jihad di seluruh dunia".
Amaran itu dikeluarkan selepas gabungan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) memperluaskan serangan udara terhadap kumpulan IS di Syria, ketika pesawat pejuang Britain menyertai misi udara pertama mereka di negara jiran Iraq.
Dalam kempen terhadap IS itu, Washington disokong sekutu Arab iaitu Bahrain, Jordan, Qatar dan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Menurut Pentagon, tujuh serangan disasarkan di Syria termasuk di pintu sempadan Turki, iaitu bandar Ain al-Arab yang juga dikenali sebagai Kobane.
Menurut seorang pejuang yang menganggotai kumpulan berkenaan, Muhsin al-Fadhli, anggota Al-Qaeda dan dipercayai pemimpin Khorasan, terbunuh dalam serangan itu,
Kumpulan pemerhati SITE menyatakan satu siri tweet daripada kumpulan militan yang dikenal pasti sebagai anggota Al-Qaeda mengucapkan takziah ke atas kematian Fadhli dan seorang lagi pemimpin Khorasan, Abu Yusuf al-Turki.
SITE yang berpangkalan di AS itu menyatakan status bertarikh 27 September 2014 juga mengeluh mengenai situasi di Syria apabila selepas tentera gabungan melancarkan serangan udara.
AS dan rakan gabungan berhasrat untuk memusnahkan kumpulan IS yang menguasai sebahagian besar wilayah di Iraq dan Syria sertab membunuh dua wartawan AS dan seorang anggota sukarelawan. IS juga terbabit dalam peperangan dahsyat dengan pihak berkuasa Iraq dan Kurdis.
Kempen IS di negara berkenaan mengakibatkan kira-kira 160,000 pelarian melarikan diri ke Turki. - AFP

No comments:

Post a Comment