Monday 22 September 2014

Turki Siap Sedia Hadapi Kebanjiran Pelarian Syria


Diterbitkan: Isnin, 22 September 2014 8:26 PM
Ratusan ribu pelarian Syria menunggu di sempadan Turki untuk memasuki negara itu sejak beberapa hari lalu.

ANKARA: Jumlah pelarian Syria yang tiba di Turki sejak empat hari lalu mencecah 130,000 dan angka itu dijangka meningkat.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus bagaimanapun berkata, negara itu bersedia menghadapi apa saja kemungkinan jika keadaan itu benar-benar berlaku.

"Saya berharap Turki tidak dipaksa menerima lebih banyak pelarian perang dari Syria namun jika ia berlaku, kerajaan mempunyai perancangan dan langkah perlu sudah diambil," katanya.

Turki yang bersempadan dengan Syria adalah antara negara paling banyak menerima kebanjiran pelarian perang sejak krisis meletus beberapa tahun lalu.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila militan Negara Islam (IS) mengganas dan membuat kemaraan dari satu wilayah ke wilayah lain ketika tentera rejim Presiden Bashar al-Assad masih bergelut menghadapi kebangkitan pemberontak.

Jumlah pelarian yang meninggalkan Syria setakat ini dianggar seramai lebih sejuta orang.

Numan berkata, ada kemungkinan gelombang kebanjiran pelarian perang itu mencecah ratusan ribu orang dalam tempoh tidak lama lagi.

Kedatangan terbaru berlaku sejak Khamis lalu apabila militan IS mengganas dan membawa konflik itu semakin hampir ke sempadan Turki.

Kata Numan, masalah yang berlaku bukanlah disebabkan bencana alam.

"Apa yang Turki hadapi kini ialah bencana buatan manusia.

"Kami tidak pasti berapa banyak petempatan akan diserang IS, berapa ramai pelarian akan terpaksa meninggalkan Syria. Kami tidak tahu.

"Ia dikawal pihak lain yang berada di seberang sana sempadan namun kerosakan yang dilakukan mereka jauh lebih dahsyat berbanding bencana alam semula jadi," katanya.
mstar

No comments:

Post a Comment