Friday 31 October 2014

60 korban bom tong

Idlib: Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas helikopter tentera Syria menggugurkan dua bom tong di sebuah kem pelarian di utara negara itu.
Aktivis berkata, sebahagian mangsa rentung hingga tidak boleh dikenali.
Bom itu digugurkan di kem berhampiran al-Habeet di Idlib, wilayah di utara Syria kelmarin dan kebanyakan terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak, kata seorang aktivis kepada Al-Jazeera.
Menurutnya, tiada kumpulan bersenjata berada berhampiran kawasan kem itu ketika ia diserang.
Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital yang terletak 30 minit perjalanan dengan kereta.
Rakaman disiarkan dalam Youtube menunjukkan mayat wanita dan kanak-kanak rentung sementara orang ramai berusaha menyelamatkan mangsa yang cedera.
“Ini pembunuhan pelarian. Biar seluruh dunia melihat ini.
“Mereka melarikan diri dari keganasan. Tetapi, terus diburu. Mereka orang awam. Namun, masih menjadi mangsa kekejaman Bashar,” kedengaran suara seorang lelaki dalam rakaman itu.
Ada laporan lain menyatakan, 75 terbunuh dalam serangan berkenaan.
Bom tong biasanya diisi dengan paku, besi tajam dan bahan letupan dan digugurkan dari udara dengan helikopter.
Rejim Bashar al-Assad sering menggunakan bom itu di kawasan awam walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengharamkan penggunaannya di kawasan seperti itu.
Hampir 10 juta orang kehilangan tempat tinggal sejak perang saudara meletus pada 2011 dan jumlah kematian dilapor hampir mencecah 200,000 orang.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:07 AM


BEBERAPA penduduk menutup mayat mangsa serangan bom tong di Idlib, utara Syria.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/5504#sthash.DtKXufOX.dpuf

No comments:

Post a Comment