Thursday 16 October 2014

IS mara di Syria, Iraq

KEPULAN asap memenuhi ruang angkasa bandar Kobane selepas pakatan yang diketuai Amerika Syarikat melancarkan serangan udara, semalam. 

Mursitpinar (Turki): Militan Negara Islam (IS) semalam mara untuk menawan bandar Kobane di utara Syria dan sebuah bandar berhampiran Baghdad.
Sementara itu, Amerika Syarikat memberi amaran mengenai kemungkinan perang untuk menumpaskan kumpulan berkenaan memakan masa yang lama.
Di Kobane, bandar yang bersempadan dengan Turki, anggota IS meningkatkan serangan terhadap pejuang Kurdis yang mempertahankan bandar berkenaan walaupun cuba disekat oleh serangan udara diketuai Amerika Syarikat.
Di Iraq, militan IS dilapor semakin menghampiri bandar Amriyat al-Fallujah, kira-kira 35 kilometer dari Baghdad, antara daerah terakhir yang dikuasai tentera kerajaan di wilayah Anbar.
Di Washington, Presiden Barack Obama memberitahu sekutu Barat dan Arabnya yang terbabit dalam peperangan dengan IS bahawa mereka menghadapi 'kempen jangka panjang' untuk menumpaskan kumpulan berkenaan.
"Tidak ada jalan singkat untuk menumpaskan IS. Kita masih diperingkat awal," kata Obama pada mesyuarat dengan pemerintah kanan tentera lebih 20 negara yang terbabit dalam kempen itu.
Obama turut menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan di bandar Kobane yang menjadi simbol medan pertempuran penting dalam peperangan menentang IS.
Pertempuran di Kobane berterusan semalam, khususnya di timur bandar itu, tempat IS mengukuhkan bentengnya selepas menumpaskan pertahanan Kurdis minggu lalu.
Di Iraq, pasukan keselamatan berkata, kedudukan mereka di Amriyat al-Fallujah, kubu terakhir mereka di wilayah Anbar menjadi sasaran serangan besar-besaran IS malam kelmarin.
"Mereka melancarkan serangan dari tiga penjuru. Kami hampir terkepung. Jika Amriyat jatuh, peperangan akan merebak ke kawasan berhampiran bandar raya Baghdad dan Karbala," kata ketua polis bandar itu, Aref al-Janabi.
Bagaimanapun, militan IS perlu berdepan dengan kawasan penting yang dikuasai kerajaan Iraq sebelum boleh tiba di ibu negara itu.
Pasukan prokerajaan di utara Iraq juga berdepan dengan tekanan di Baji, kawasan penapisan minyak strategik negara itu, tempat pesawat Amerika Syarikat menggugurkan bantuan makanan, air dan peluru kepada tentera Iraq, buat pertama kali, Ahad lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:40 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2204#sthash.9nX0PEcH.dpuf

No comments:

Post a Comment