Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada, Bob Paulson berkata, bagaimanapun pihak polis tidak menemukan bukti yang menunjukkan kedua-dua penyerang terbabit merancang komplot serangan itu bersama-sama.
Kelmarin, Michael Zehaf-Bibeau, 32, ditembak mati selepas membunuh seorang askar tidak bersenjata di Tugu Peringatan Perang Negara, di sini dan me­nyerang Parlimen Kanada.
Dua hari sebelum itu, seorang lagi penyerang, Martin Couture-Rouleau, 25, melanggar dua askar di tempat letak kereta di Quebec, menyebabkan seorang daripada mangsa terbunuh sebelum suspek ditembak mati polis.
Jelas Paulson, siasatan polis tidak mendapati sebarang kaitan antara serangan yang dilancarkan oleh Zehaf-Bibeau dan Couture-Rouleau.
“Kami juga belum pasti sama ada Zehaf-Bibeau menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak untuk melancarkan serangan di Parlimen, tetapi saya percaya dia bertindak secara bersendirian.
“Serangan seperti itu merupakan ancaman yang sukar dikesan dan pihak polis tidak mempunyai cara untuk mengetahui lokasi dan waktu serangan,” katanya.
Kumpulan pelampau Islam sebelum ini tidak pernah mengancam keselamatan Kanada tetapi keputusan Ottawa menyertai misi antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat (AS) serangan ke atas militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria mungkin dilihat sebagai faktor keganasan itu berlaku di negara ini.
Segelintir rakyat Kanada dipercayai pergi ke Asia Barat untuk menyertai kumpulan pelampau atau militan dan membawa fahaman radikal apabila pulang ke tanah air.
Sementara itu, pihak keselamatan Kanada mempertingkatkan tahap keselamatan untuk hari ketiga berturut-turut termasuk mengawal keselamatan Perdana Menteri, Stephen Harper ketika pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian terbabit. – AFP/REUTERS