“Petang ini, tentera Israel menjadikan dua kawasan selamat di wilayah Damsyik iaitu di Dimas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik sebagai sasaran serangan,” kata tentera Syria dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun tambah kenyataan itu lagi, tiada kemalangan jiwa ataupun kecederaan dilaporkan berlaku ke atas orang ramai walaupun terdapat kerosakan pada lapangan terbang tersebut.
Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik digunakan pengendali syarikat penerbangan awam dan tentera yang berada di tenggara Damsyik berhampiran kawasan peperangan termasuk Ghouta Timur yang sebahagian besarnya dikuasai penentang kerajaan.
Namun, pihak berkuasa Israel belum memberi sebarang reaksi terhadap dakwaan itu dengan Syria menuduh rejim Zionis membantu puak penentang untuk menggulingkan Presiden, Bashar al-Assad.
Israel telah melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas Syria sejak perang saudara meletus pada 2011 termasuk serangan menyasarkan roket buatan Iran yang mahu dilancarkan terhadap kumpulan Hezbollah di Lebanon.
Sementara itu, utusan PBB ke Syria, Staffan de Mistura akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kumpulan penentang dari Aleppo bagi membincangkan kemungkinan gencatan senjata di daerah Gaziantep di Turki. – AFP