Sekurang-kurangnya 13 orang daripada kira-kira 500 penduduk terbunuh dalam serangan itu, me­nurut laporan menerusi misi mencari fakta oleh OPCW yang diperolehi agensi berita AFP, semalam.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membincangkan laporan itu, semalam mencetuskan perdebatan antara Britain, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.
Duta AS ke PBB, Samantha Po­wer berkata, laporan terbaharu itu menyediakan ‘lebih banyak saksi tentang bukti penggunaan gas klo­rin oleh kerajaan Syria’.
“Syria mesti menjelaskan bahawa adalah tidak cukup dengan hanya memusnahkan senjata kimia yang diisytihar sahaja, tetapi mesti menghentikan menggugurkan bahan letupan kimia ke atas orang awam,’’ kata Power dalam tweet beliau.
Laporan OPCW, bagaimanapun tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab melancarkan se­ra­­­ngan gas klorin di Kampung Talmenese, Al Tamanah dan Kafr Zita yang bermula dari April hingga Ogos tahun lalu.
Power memetik laporan yang menyatakan 32 saksi melihat atau mendengar bunyi helikopter sebelum bom digugurkan dan 29 penduduk terhidu klorin.
Duta Chile ke PBB, Cristian Barros Melet yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 negara itu pada bulan ini menolak untuk menyediakan butiran tentang perbincangan itu dengan menyatakan bahawa majlis berkenaan akan terus menerima laporan daripada badan itu. – AFP