Serangan bom di Syria ragut empat nyawa
DAMSYIK - SYRIA. Empat penduduk awam terbunuh selepas pengebom berani mati yang memandu ambulans menyerang sebuah hospital di pinggir bandar Qardaha, semalam.
Difahamkan, ia adalah serangan pertama disasarkan di kampung halaman Presiden Bashar al-Assad sejak perang saudara meletus di negara rantau Arab itu kira-kira empat tahun lalu.

Serangan itu berlaku selepas Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria melaporkan bahawa tentera kerajaan menghukum mati 48 penduduk termasuk 10 kanak-kanak di kampung Rityan yang terletak di utara, awal minggu lalu.
“Seorang lelaki yang memandu ambulans sarat dengan bahan letupan memasuki kawasan letak kereta di hospital Qardaha. Seorang lagi lelaki dalam ambulans itu tapi tidak dapat dipastikan sama ada dia turut terbabit atau seorang tebusan," kata pengarah pertubuhan berkenaan, Rami Abdel Rahman.

Sebuah makam menempatkan kubur bapa Bashar, Hafez dan abangnya, Bassil, terletak di Qardaha. - Channel News Asia