Mhd Tawfiq Abou Ghalon
Duta Syria di Malaysia Dr Mhd Tawfiq Abou Ghalon. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kerajaan Syria tidak kalah dalam usaha  memerangi kumpulan militan IS walaupun menghadapi tentangan hebat daripada kumpulan ekstremis itu.

Duta Syria di Malaysia Dr Mhd Tawfiq Abou Ghalon berkata kerajaan telah melakukan segala yang terdaya untuk mengekang dan membendung pengaruh IS, yang kini tertumpu di utara Syria, daripada menular ke selatan.

"Kerajaan masih mengawal keadaan. Jika kami mendapat sokongan...Saya percaya kami boleh menghancurkan mereka (IS)," kata beliau dalam temu bual di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Selain IS, rejim Bashar al-Assad juga menghadapi tentangan daripada kumpulan pemberontak antikerajaan sejak meletus perang saudara.

Mhd Tawfiq mengutuk jenayah kejam yang dilakukan oleh IS sambil berkata Syria menjadi sasaran kerana ia adalah tempat bermulanya tamadun.

"Tiada apa yang bercirikan Islam mengenai IS. IS cuma direka untuk memberi gambaran buruk tentang Islam, untuk memusnahkan semua tamadun Islam," kata Mhd Tawfiq.

"Segala-galanya dalam Islam adalah terkawal. Tiada siapa boleh mengatakan kamu boleh menyembelih sesiapa. Ia bukan di bawah undang-undang Islam," katanya merujuk kepada penyembelihan dan pembunuhan dengan memenggal kepala mangsa oleh militan IS.

Kepada soalan lain, duta itu menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas laman web dan media sosial yang menyebarkan fahaman IS.

"Mereka harus memantau laman web ini dan segera menutupnya. Saya tidak tahu mengapa ini tidak dilakukan," kata beliau.

IS telah dapat memanipulasi laman web dunia dan umpan psikologi untuk menarik ribuan anak muda, lelaki dan wanita untuk menyertai mereka.

Ramai yang bersimpati dan percaya mereka berjuang atas nama jihad dan tidak kurang juga ditaburkan dengan janji berupa ganjaran, hadiah dan kehidupan lebih baik, kata Mhd Tawfiq.

"Orang-orang ini tidak ambil peduli tentang Islam dan sesetengah daripada mereka langsung tidak tahu siapakah presiden Syria.

Mhd Tawfiq berkata perang saudara yang berlarutan dan kini memasuki tahun keempat telah memberi kesan ke atas semua orang di Syria, termasuk beliau dan keluarganya. 

Beliau berada dalam keadaan trauma apabila tidak dapat bertemu ibunya selama tiga tahun, walaupun sehingga ibunya meninggal dunia apabila infrastruktur musnah akibat perang.

"Ibu saya berada di Aleppo dan Saya berada di Damsyik. Jaraknya cuma 300km antara kami, dan saya tidak dapat menemui ibu saya sebelum beliau meninggal dunia. Adik lelaki saya juga ditembak semasa perang," kata beliau.

Duta itu yang memulakan tugasnya di Malaysia pada September tahun lepas berkata perang juga meninggalkan kesan ke atas generasi muda.

"Apabila kami baru berpindah ke sini, anak bongsu saya terdengar bunyi guruh dan bertanya sama ada pengeboman juga berlaku di sini," kata beliau. - Bernama