KUALA LUMPUR - Selepas terjebak dalam perang saudara selama empat tahun, Syria mempunyai harapan untuk dibina semula dan Malaysia dipelawa bagi menyertai usaha itu, kata Kuasa Usaha Sementara Syria, Dr Mhd Tawfiq Abou Ghalon.
    
Katanya, keadaan semasa di Syria semakin baik tetapi memerlukan masa sebelum usaha itu boleh mengambil tempat, syarikat-syarikat Malaysia boleh mengambil bahagian dalam kerja-kerja pembinaan semula infrastruktur yang musnah semasa krisis.
    
"Kami mahu Malaysia menyokong kami. Pelabur boleh datang ke Syria memandangkan Damsyik (ibu negara) dan banyak bandar-bandar lain adalah selamat,  banyak masalah yang berlaku sekarang, tertumpu di sempadan.
    
"Sebelum ini, banyak syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam projek-projek infrastruktur seperti lapangan terbang dan stesen metro, tetapi semua ini berakhir disebabkan krisis," katanya kepada Bernama di sini hari ini selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datuk Zakaria Abdul Wahab.
   
Mhd Tawfiq berkata Syria mahu belajar dari Malaysia, terutama semasa proses membina semula berjalan, disebabkan kedua dua negara ini banyak berkongsi ciri-ciri umum termasuk nilai-nilai agama dan budaya yang pelbagai. 
    
Beliau berkata kedua-dua negara sentiasa mengekalkan hubungan yang baik walaupun semasa krisis, dan ini merupakan isyarat mesra yang  amat dihargai oleh kerajaan Syria.
    
Mhd Tawfiq yang dilantik sebagai Kuasa Usaha Sementara Syria di sini sejak tujuh bulan yang lalu, berharap Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik, yang ditutup pada Julai 2012, akan dibuka semula bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan semasa di negara tersebut.
    
Pada masa sekarang, Kedutaan Malaysia terdekat, terletak di Beirut, Lebanon.
Beliau ketika bercakap mengenai krisis yang sedang berlangsung, berkata  aktiviti ekonomi Syria, yang sebelum ini baik, telah terhenti disebabkan  konflik serta sekatan oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
    
"Ekonomi negara adalah sangat baik. Dalam sektor pertanian, kita tidak mengimport apa-apa makanan, sebaliknya kita menjadi negara pengeksport. Kami juga mengeksport tekstil, tetapi sekarang, segala-galanya berhenti," katanya. 
    
Antara produk-produk eksport Syria termasuklah minyak, mineral, produk petroleum mentah, tekstil, buah-buahan serta sayur-sayuran. 
    
Hampir 200,000 orang terbunuh sejak konflik bermula pada Mac, 2011, manakala tujuh juta orang hilang tempat tinggal dan lebih daripada tiga juta menjadi pelarian. - Bernama