Pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Anwar Abdul Hadi berkata, pemindahan tersebut melibatkan 400 keluarga atau kira-kira 2,000 orang sejak Jumaat dan kelmarin selepas dua laluan di daerah Zahira dikawal oleh tentera kerajaan.
“Proses pemindahan juga dijalankan semalam dan kebanyakan pelarian yang dibawa keluar dari Yarmouk kini ditempatkan di Yalda, daerah yang dikuasai tentera kerajaan Syria.
“Mereka kini menunggu bantuan untuk dibawa ke pusat atau kem perlindungan yang lain, manakala terdapat 25 pelarian yang cedera akibat pertempuran militan IS dan tentera kerajaan dibawa ke hospital,” katanya.
Agensi berita tempatan, SANA turut melaporkan bahawa proses pemindahan itu dilakukan melalui penyelarasan kerjasama antara tentera kerajaan dan kumpulan bersenjata Palestin.
Pemindahan berkenaan dilaksanakan selepas beribu-ribu pelarian termasuk rakyat Palestin terperangkap ekoran pertempuran antara militan IS, tentera kerajaan, dan kumpulan penentang kerajaan sejak minggu lalu.
Kumpulan bersenjata Palestin yang setia kepada Hamas turut terkepung akibat situasi meruncing itu dan khuatir ancaman militan IS yang mahu membalas dendam kerana menentang kemaraan kumpulan pelampau tersebut. – AFP