Situasi meruncing di kem pelarian Yarmouk
Nyawa hampir 18,000 pelarian Palestin di kem Yarmouk semakin terancam selepas kawasan itu digempur kumpulan militan IS pada 1 April lalu.
DAMSYIK - SYRIA. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap situasi yang semakin meruncing di kem Yarmouk yang menempatkan pelarian Palestin berhampiran ibu negara Syria.

Perkara itu disuarakan melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA), kelmarin selepas pertempuran sengit tercetus antara kumpulan bersenjata, Aknaf Beit al-Maqdis dan militan IS di kem pelarian tersebut sejak 1 April lalu.

"Nyawa hampir 18,000 orang awam termasuk kanak-kanak semakin terancam. Lebih 90 peratus kem pelarian Palestin itu kini berada di bawah cengkaman kumpulan militan IS

"Bekalan makanan, air bersih dan keperluan asas lain juga semakin berkurangan akibat konflik tersebut," menurut laporan itu.

Susulan daripada itu, UNRWA menggesa kesemua pihak yang terlibat dalam krisis itu supaya menghentikan pertempuran tersebut dan mematuhi undang-undang antarabangsa untuk melindungi nyawa orang awam. - Press TV