Friday 24 April 2015

42 maut dalam pertempuran pemberontak Syria dengan IS


GAMBAR yang dirakam pada 4 April lalu menunjukkan seorang pejuang Kurdis dari Amerika Syarikat, Hewal Dilsad, 26, sedang berkawal bagi menyekat kemaraan militan IS di bandar Tal Tamr, utara Hasakeh berdekatan sempadan Turki.


DAMSYIK – Sekurang-kurangnya 42 pejuang terbunuh dalam pertempuran sengit sepanjang 24 jam antara pemberontak Islam dan kumpulan militan Islamic State (IS) di wilayah Damsyik, Syria, lapor sebuah kumpulan pemerhati semalam.
“Sekurang-kurangnya 30 pemberontak Islam dan 12 militan IS terbunuh dalam pertempuran sejak Selasa lepas di kawasan berbukit di Qalamun,” kata kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Qalamun dibahagikan kepada bahagian barat yang bersempadan dengan Lebanon dan dikuasai rejim Presiden Bashar al-Assad bersama sekutunya, pergerakan Hizbollah dari Lebanon.
Bahagian timur pula menyaksikan pertempuran sengit antara pemberontak Islam dan IS. Rantau timur Qalamun dianggap strategik kerana bersempadan dengan ‘badiya’, kawasan padang rumput Syria.
Rantau itu digunakan oleh pemberontak Islam untuk mengangkut senjata dari sempadan Turki ke utara Syria dan ke selatan hingga ke sempadan Jordan.
Menurut kumpulan pemerhati itu yang berpangkalan di Britain, IS telah menyekat satu laluan di Badiya dan merancang untuk menawan lebih banyak laluan bagi melemahkan pemberontak Islam Syria.
Dalam pada itu, Lebih 11 orang terbunuh akibat pengeboman rejim Bashar ke atas dua buah bandar di wilayah Damsyik. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3YB02LrT8 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment