Ayub Khan Mydin Pitchay
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay (gambar) berkata, kesemua mereka adalah lelaki dan terkorban dalam beberapa siri pertempuran di Syria dan Iraq.
Menurut beliau, militan tersebut bagaimanapun menggantikan gelaran pengebom bunuh diri dengan istilah lebih Islamik iaitu ‘Ishtishadiah’ yang bermaksud operasi syahid.
“Mereka menggunakan konsep Islam iaitu Ishtishadiah bagi menghalalkan tindakan yang dikatakan mati syahid. Mereka mengeksploitasi agama serta terma-terma agama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Jihad vs Ekstremisme’ sempena majlis Multaqa Imam, Guru Takmir, Guru Kafa dan Jawatankuasa Masjid Mukim Negeri Kelantan 2015 yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di sini hari ini.
Ayub Khan berkata, kesemua 11 orang militan warga Malaysia terbabit disahkan terkorban namun jenazah mereka tidak dapat dibawa pulang.
Terdahulu dalam ceramahnya, beliau memberitahu seramai tujuh kakitangan awam yang terdiri daripada pegawai agama, anggota tentera serta bomba didapati menyertai IS di Syria seta­kat ini.