Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata kepada AFP, sekurang-kurangnya 40 orang pemberontak dan 32 penentang kerajaan terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di sebuah bangunan hospital di bandar Jisr al-Shugur itu.
“Pertempuran hanya berakhir awal pagi ini. Al-Qaeda memulakan serangan dengan meletupkan sebuah kereta dipandu oleh pengebom berani mati yang merempuh bangunan hospital.
“Mereka yang terperangkap di dalam bangunan hospital itu termasuk pegawai tentera berpangkat tinggi serta ahli keluarga merekam dan orang awam,” katanya.
Tambah Rami, beliau tidak pasti dengan bekalan makanan dan ubat-ubatan yang disimpan oleh kumpulan itu selama terperangkap selama dua minggu di dalam kompleks hospital berkenaan.
Bashar berikrar akan menyelamatkan tentera dan orang awam yang terkurung di kompleks hospital pinggir barat daya Jisr al-Shugur itu, sejak pemberontak menawan daerah tersebut dua minggu lalu.
Sejak beberapa minggu lepas, anggota penentang sekutu al-Qaeda Syria, Barisan al-Nusra telah menawan bandar Jisr al-Shugur dan kem tentera di Idlib.
Kekalahan tentera Syria di wilayah itu mendatangkan kebim­ba­ngan bahawa kekuatan tentera Bashar kini semakin goyah.
Dalam pada itu, televisyen Syria turut melaporkan terdapat dua wartawan tempatan yang membuat liputan berhubung serangan di Jisr al-Shugur cedera kerana kumpulan penentang turut menyasarkan media yang membuat laporan tentang mereka.