Monday 18 May 2015

Tentera Syria usir IS dari bandar purba


Damsyik: Tentera Syria semalam mengusir militan Negara Islam (IS) dari bandar purba Palmyra.
Pertempuran di kawasan yang diiktiraf sebagai warisan dunia itu menyebabkan puluhan orang terbunuh.
Militan IS menawan Tadmur, bahagian utara bandar berkenaan dalam satu serangan besar-besaran, kelmarin tetapi diundurkan oleh tentera dan militia yang menyokong kerajaan Presiden Bashar al-Assad.
“Kami ada berita baik hari ini (semalam). Kami berasa lebih lega. Setakat ini tidak ada kerosakan yang berlaku pada bandar purba itu,” kata ketua antikuiti Mamoun Abdulkarim.
Gabenor wilayah Talal Barazi berkata, tentera menawan semula daerah utara bandar berkenaan.
“Serangan IS berjaya dipatahkan,” kata Talal.
Bagaimanapun, pemerhati berkata, pertempuran masih berlaku, tetapi tidak seteruk kelmarin.
“IS masih berada di pinggir bandar berkenaan,” kata ketua Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Rami Abdel Rahman.
Sekurang-kurangnya 23 tentera Syria dan 29 militan IS terbunuh dalam serangan ke atas Palmyra, kelmarin, kata kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, Talal mendakwa lebih 130 anggota IS mati. Dia tidak pula menyebut kematian di pihak tentera.
Kawasan itu yang dulunya mempunyai 70,000 penduduk sesak sejak beberapa bulan lalu dengan ketibaan orang awam yang melarikan diri daripada kemaraan IS.
Kejayaan IS menawan kawasan itu yang turut menempatkan telaga minyak akan membolehkan kumpulan militan berkenaan memiliki lagi satu sumber pendapatan di pasaran gelap. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/51659#sthash.Y0NyBLt3.dpuf

No comments:

Post a Comment