Jurucakap Pentagon, Komander Elissa Smith berkata, latihan kumpulan pertama melibatkan kira-kira 90 anggota penentang telah bermula pada bulan lalu dan bayaran ber­kenaan dibuat bergantung kepada kemahiran, prestasi dan kedudukan kepimpinan setiap anggota kumpulan berkenaan.
Smith berkata, proses merekrut kumpulan penentang itu dijangka memakan masa beberapa bulan dan Pentagon menjangkakan kira-kira 3,000 anggota penentang akan dilatih pada hujung tahun ini.
“Objektif utama Pentagon adalah untuk melatih 5,400 orang dalam tempoh 12 bulan bermula bulan lalu.
“Bagi faktor keselamatan, Pentagon tidak akan mengumumkan bila kumpulan penentang kerajaan Syria yang dilatih tentera AS itu akan memasuki semula negara itu untuk memerangi kumpulan militan IS,” kata Smith tanpa mendedahkan jumlah sebenar penentang yang te­lah menerima latihan.
Beliau juga tidak mendedahkan jumlah anggota kumpulan penentang yang menerima bayaran daripada kerajaan AS setakat ini bagi menentang ancaman militan IS di Syria.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Steve Warren berkata, kira-kira 200 anggota penentang menjalani latihan ketenteraan pada minggu lalu dan seramai 1,500 orang lagi telah selesai menjalani beberapa pemeriksaan yang ditetapkan.
Warren, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah anggota kumpulan penentang yang dibayar oleh kerajaan AS walaupun laporan menyebut kira-kira 6,000 rakyat Syria secara sukarela mahu menyertai latihan anjuran AS bagi membentuk pasukan tentera yang berfahaman sederhana.
“Usaha melatih kumpulan penentang Syria berjalan perlahan disebabkan kesukaran melakukan saringan ke atas sukarelawan dan membawa mereka keluar dari negara terbabit bagi menjalani latihan,” kata beliau. – REUTERS