Thursday 2 July 2015

Krisis pelarian Eropah meruncing


AP - SEJUMLAH pendatang duduk di dek kapal perang Belgium, Godetia selepas mereka diselamatkan di Laut Mediterranean pada 24 Jun lepas.


GENEVA – Bilangan pela­rian yang melakukan perjalanan merbahaya me­rentasi Laut Mediterranean menuju ke Eropah mencatat rekod 137,000 orang sepanjang enam bulan pertama 2015 dengan kebanyakan mereka melarikan diri daripada peperangan, konflik dan penindasan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
“Eropah berdepan krisis pelarian maritim antara yang terbesar dalam sejarah,” kata agensi pelarian PBB dalam satu laporan.
Menurutnya, bilangan pelarian yang menyeberangi Laut Meditterranean melonjak 83 peratus sepanjang enam bulan pertama tahun ini berbanding setahun lalu.
Situasi itu dijangka bertambah buruk berikutan cuaca cerah musim panas membolehkan sindiket penyeludup manusia membawa lebih ramai pendatang belayar menuju ke Eropah.
Krisis pelarian kini menjadi isu panas dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang bertelagah dalam mencari kaedah terbaik bagi menangani isu tersebut.
Perbalahan turut timbul berhubung bagaimana untuk berkongsi beban dalam membantu golongan pela­rian yang rata-ratanya kelaparan dan keletihan.

AFP - BEBERAPA pelarian berbuka puasa pada bulan Ramadan di bandar Ventimiglia, sempadan Perancis-Itali pada 24 Jun lalu.


Pada masa yang sama, bilangan imigran yang melonjak tiba di Itali dan Greece sebelum berhijrah ke negara-negara EU lain untuk mencari pekerjaan telah mencetuskan kemarahan dan sentimen antipendatang dalam kalangan penduduk tempatan.
Ketua agensi pelarian PBB, Antonio Guterres berkata, sebahagian besar mereka yang melakukan perjalanan merbahaya merentasi Laut Mediterra­nean itu bukannya pendatang ekonomi.
“Kebanyakan mereka yang tiba melalui laut di Eropah merupakan pela­rian akibat peperangan dan penindasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Satu pertiga daripada keseluruhan pelarian yang tiba di Itali atau Greece sepanjang tahun ini datang dari negara bergolak Syria, manakala penduduk yang melarikan diri daripada keganasan di Afghanistan dan Eritrea masing-masing mencatat 12 peratus angka tersebut.
Beberapa negara pen­yumbang pelarian lain termasuk Somalia, Nigeria, Iraq dan Sudan, kata PBB. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0702&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3egFsDGwi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment