Thursday 2 July 2015

Kuwait tahan 60 suspek militan


Kuwait: Kuwait menahan 60 orang dan memaksa sebuah badan kebajikan tempatan ditutup atas dakwaan mengumpul wang untuk pelarian Syria secara haram.

Media tempatan melaporkan, ia sebahagian tindakan terhadap suspek militan yang ada hubungan dengan serangan berani mati paling buruk negara itu minggu lalu.

Kuwait meningkatkan langkah keselamatan selepas seorang pengebom berani mati warga Arab Saudi meletupkan dirinya dalam masjid Syiah ketika solat Jumaat, membunuh dirinya dan 26 yang lain.

Pegawai Kuwait berkata, serangan itu bertujuan mencetuskan permusuhan antara pengikut Sunni, penduduk majoriti negara itu dengan penganut Syiah.

Akhbar al-Qabas memetik sumber keselamatan sebagai berkata, 60 orang, termasuk warga tempatan dan rakyat negara Teluk lain ditahan untuk disoalsiasat oleh pegawai keselamatan.

Sebahagiannya dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan pelampau Sunni.

Akhbar itu bagaimanapun tidak memberi butir lanjut.

Ia juga melaporkan, lima orang yang disyaki terbabit dalam serangan oleh warga Saudi Fahd Suliman Abdul-Muhsen al-Qabaa Jumaat lalu diserahkan kepada pendakwa raya.

Kelima-limanya mengaku menerima sumbangan kewangan dari luar untuk melakukan serangan dengan menyasarkan masjid.

Al-Qabas tidak menamakan mereka tetapi Kementerian Dalam Negeri Kuwait berkata, ia menahan pemandu kenderaan yang membawa Fahd ke masjid berkenaan, pemilik kereta dan tuan rumah tempat pemandu itu bersembunyi selepas serangan.

Hubungan antara 70 peratus penduduk Sunni dan 30 peratus Syiah Kuwait selama ini baik.

Sementara itu, akhbar Al-Rai melaporkan, Kementerian Buruh dan Hal Ehwal Sosial mengarah badan kebajikan Fahd al-Ahmed ditutup atas dakwaan melanggar syarat mengutip derma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 6:46 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/61262#sthash.PGSgf9My.dpuf

No comments:

Post a Comment