Tuesday 28 July 2015

Turki tidak akan kerah tentera darat ke Syria


SEKUMPULAN penunjuk perasaan berkumpul di Ankara semalam kerana membantah serangan pengganas di sebuah bandar sempadan Turki baru-baru ini.


ISTANBUL – Turki tidak akan menghantar tentera darat memasuki sempadan Syria untuk menyerang kedudukan-kedudukan kumpulan Islamic State (IS) yang dibedil Ankara sebelum ini, kata Perdana Menteri Ahmet Davutoglu semalam.
Beliau berkata, kempen memerangi IS itu dibimbangi akan mengubah ‘imbangan kuasa’ di rantau berkenaan.
“Kami tidak akan mengerahkan tentera darat. Kami tidak mahu melihat anggota militan IS berada di sempadan Turki,” Kata Ahmet kepada akhbar Turki, Hurriyet.
Turki melancarkan serangan antikeganasan lintas sempadan terhadap anggota militan IS dan pejuang Parti Buruh Kurdistan (PKK) susulan keganasan di negara berkenaan.
Serangan itu melibatkan bedilan meriam dan pegeboman dari udara ke atas kubu IS dan PKK.
Tentera Turki melancarkan serangan baharu ke atas pejuang Kurdis di utara Iraq kelmarin ketika Ankara memanggil satu mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkaitan kempennya menentang pemberontak PKK dan IS.
Turki juga memberi kelulusan untuk Amerika Syarikat (AS) menggunakan pangkalan udara miliknya berhampiran sempadan Syria bagi mengebom sasaran IS.
Perjanjian bersejarah yang membenarkan penggunaan Pangkalan Udara Incirlik di selatan Turki itu menyusul beberapa bulan selepas perbincangan antara wakil Turki dan AS.
Ahmet enggan mendedahkan perincian perjanjian tersebut tetapi menyatakan penguatkuasaan zon larangan penerbangan yang diminta oleh Ankara telah dibincangkan dengan panjang lebar.
“Perlindungan udara adalah penting untuk pemberontak yang menentang IS. Kami tidak akan menghantar tentera darat. Justeru mereka yang bekerjasama dengan kami (pemberontak) perlu dilindungi,” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3h8GXy0z2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment