Sunday 9 August 2015

Laut Mediterranean kubur pelarian

Palermo, Itali: Datuk Bandar Palermo di Itali, Leoluca Orlando, menempelak pemimpin Eropah kerana gagal menghalang ‘pembunuhan beramai-ramai’ dalam bencana yang mengorbankan ribuan pelarian mencari perlindungan di negara benua itu.
“Kita sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang disebabkan sikap mementingkan diri Eropah,” katanya sehari selepas lebih 200 pelarian dikhuatiri lemas selepas bot nelayan usang yang membawa 700 pelarian, sebahagian besarnya dari Syria, terbalik kira-kira 70 kilometer di luar pantai Libya.
Sehari sebelum itu, ratusan pelarian diselamatkan dari sebuah bot yang amat sesak di Laut Mediterranean.
Bot berkenaan terbalik ketika pelarian berasak-asak ke sisi selepas melihat kapal tentera laut Ireland menghampiri mereka menyebabkan bot berkenaan senget lalu terbalik.
Kapal tentera laut Ireland itu yang menyelamatkan 370 pelarian ialah antara pasukan misi Triton Kesatuan Eropan yang diperluaskan selepas kejadian kira-kira 800 pelarian lemas awal tahun ini. Pengawal pantai Itali mengesahkan 25 mayat ditemui termasuk tiga kanak-kanak.
Hari ini, polis Itali menahan lima lelaki disyaki memandu bot yang karam itu serta berkemungkinan mempunyai kaitan dengan penyeludupan migran.
Kapal tentera laut Itali dan Ireland serta agensi kemanusiaan Medecins Sans Frontieres (MSF) tidak lagi menemui mangsa yang selama selepas semalaman mencari.
Hari ini, seorang pelarian lelaki terjun dari sebuah bot berenang ke kapal penyelamat. Bot berkenaan didapati membawa ratusan pelarian termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi dan mereka diselamatkan kira-kira 16 kilometer dari pantai Libya oleh kapal agensi bantuan Stesen Bantuan Pendatang Luar Pesisir (MOAS) dan MSF.
Pelarian itu yang disyaki menjadi mangsa penyeludupan manusia dari zon perang di Afrika dan Asia Barat.
Orlando yang bercakap melalu televisyen Itali, mendesak pemimpin Eropah melakukan lebih lagi bagi mengelak bencana seperti itu, termasuk membenarkan lebih ramai pelarian berlindung di negara mereka atas dasar kemanusiaan.
Semalam, PBB menyatakan sehingga Julai lalu, lebih 224,000 pelarian menyeberangi Laut Mediterranean untuk ke Eropah tahun ini.
“Apa yang ada di depan pintu Eropah ialah krisis pelarian,” kata jurucakap agensi pelarian PBB, William Spindler.
Menurutnya, mereka datang dengan bot usang dan 124,000 orang mendarat di Greece manakala 98,000 lagi di Itali.
Namun, Spindler berkata, lebih 2,100 orang lemas di laut itu atau hilang. - Reuters/Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 6:15 PM

Seorang pelarian kanak-kanak menangis selepas dibawa naik ke atas kapal Stesen Bantuan Pendatang Luar Pesisir (MOAS) hari ini.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68890#sthash.pmJTQmIN.dpuf

No comments:

Post a Comment