Gambar yang memilukan itu dirakam oleh agensi berita Dogan, menunjukkan bagaimana seorang kanak-kanak sudah tidak bernyawa terbaring di pesisir pantai berhampiran Bodrum, salah satu pusat peranginan utama di negara ini, sebelum mayat tersebut diambil oleh pihak polis.
Gambar itu tersebar meluas di laman sosial, sehinggakan hastag #KiyiyaVuranInsanlik atau `Kemanusiaan terdampar di pesisir pantai’ menjadi topik perbualan utama di seluruh dunia.
Imej yang menyayat hati itu turut menjadi berita utama di dada-dada akhbar utama Britain yang mengecam krisis pelarian di Eropah ketika ini.
“Jika gambar mengejutkan tentang kematian seorang kanak-kanak Syria terdampar di pantai tidak mengubah sikap Eropah terhadap krisis pelarian, apa yang dapat mengubah pendirian mereka?,” kata pengarang akbar Independent.
Akbar berkenaan kemudian mengemukakan satu petisyen menggesa Britain menerima kehadiran pelarian di negara tersebut, dengan lebih 10,000 tandatangan berjaya dikumpulkan dalam masa satu jam.
Sebelum ini, London dikritik kerana menerima kehadiran pelarian pada kadar yang sangat rendah berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain. – AFP