Wednesday 30 September 2015

Lakukan lebih baik bantu pelarian Syria


29 SEPTEMBER 2015
pelarian syria
 Pelarian Syria.
PUTRAJAYA - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berharap umat Islam boleh melakukan dengan lebih baik bagi menangani krisis pelarian Syria.
   
Baginda bertitah sejak beberapa minggu lepas dunia telah menyaksikan nasib pelarian Syria dalam keadaan terdesak terpaksa melarikan diri ke Eropah dan sebaliknya tidak ke negara-negara Islam yang berjiran.
   
Sultan Nazrin bertitah baginda amat tersentuh apabila seorang pelarian Syria, membandingkan Canselor Jerman Angela Merkel dengan Raja Abyssinia, Negus, yang masyhur kerana memberi perlindungan kepada kaum Muslimin semasa hijrah pertama pada zaman Nabi Muhammad saw.
   
"Seorang lagi pelarian Syria berkata: "Kami akan memberitahu anak-anak kami bahawa kaum migran Syria meninggalkan negara mereka untuk datang ke Eropah sedangkan Makkah dan bumi Islam adalah lebih hampir dengan mereka," katanya.
   
Sultan Nazrin bertitah demikian dalam ucapan khas bertajuk "Reclaiming Education in Muslim Universities for the 21st Century" pada Sidang Kemuncak Pemimpin Universiti Negara-negara Islam Sedunia 2015 (WICULS), di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah umat Islam perlu belajar dari sejarah mereka sendiri tentang bagaimana universiti pertama di dunia, Universiti Al-Qarawiyyin menempatkan umat Islam di Eropah apabila mereka diusir semasa penjajahan Sepanyol pada abad ke-15.
   
"Malah sesetengah daripada mereka meneruskan pengajian di sana. Hasilnya, bandar Fèz (di Maghribi) menjadi terkenal sebagai tempat berlindung bagi orang yang terpaksa berpindah dari negara sendiri pada masa itu, dan penempatan mereka berhampiran universiti di kota lama masih kekal sehingga hari ini," titah baginda.
   
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kira-kira 150,000 pelarian Syria telah mencari perlindungan di Kesatuan Eropah sejak perang saudara meletus pada Mac 2011. - Bernama

No comments:

Post a Comment