Monday 26 October 2015

Bashar sedia adakan pilihan raya Presiden




MOSCOW – Presiden Syria, Bashar (gambar) al-Assad didakwa menyatakan kesediaan untuk mengadakan pilihan raya parlimen dan presiden sekali gus bertan­ding bagi mengekalkan jawatannya, kata seorang ahli parlimen Rusia dari Damsyik semalam.
“Beliau bersedia mengadakan pilihan raya dengan calon daripada semua parti politik yang mahukan Syria berkembang makmur,” ujar Alexander Yushchenko menerusi panggilan telefon kepada AFP selepas bertemu Bashar di ibu kota Syria.
Yushchenko menambah, Assad memberitahu kesediaannya itu selepas pertemuan selama satu jam 30 minit yang turut disertai ahli parlimen Rusia dan beberapa individu penting lain.
“Dia benar-benar yakin dengan kenyataannya itu,” kata Yushchenko.
Beliau yang merupakan ahli Parti Komunis mene­gaskan, Assad bersedia untuk membincangkan pembaharuan perlembagaan dan pilihan raya hanya selepas Syria bebas daripada cengkaman kumpulan pemberontak Islamic State (IS).
Pengumuman baharu itu dijangka menimbulkan ketegangan kepada kumpulan pemberontak yang disokong Barat termasuk Washington dan sekutunya yang sebelum ini menyatakan bahawa Bashar tidak ada masa depan selepas pasca konflik Syria.
Beberapa pihak lawan Bashar menggesa beliau berundur ketika proses peralihan, manakala sebilangan lagi memaksanya meletakkan jawatan secepat mungkin.
Rusia yang merupakan penyokong kuat rejim Bashar menyatakan terpulang kepada penduduk Syria untuk menentukan nasib pemimpin mereka. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3pcUez4qw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment