Sunday 25 October 2015

Pengawal peribadi Mahmoud Ahmadinejad terbunuh di Aleppo, Syria


AHAD, 25 OKT

PENGAWAL peribadi bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, Abdollah Baqeri Niyaraki (belakang) terbunuh di Aleppo, utara Syria. - Foto AFP
ALEPPO, Syria: Seorang pengawal peribadi bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad terbunuh di Aleppo, utara Syria, lapor media Tehran.
Abdollah Baqeri Niyaraki juga adalah bekas anggota Pengawal Revolusi Iran. Beliau berada di Syria dan berkhidmat sebagai penasihat tentera negara bergolak itu, lapor agensi berita Fars.
Berita kematiannya muncul selepas dua lagi anggota tentera Iran berpangkat tinggi, yang juga bertindak sebagai penasihat di selatan negara ini terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak.
Kemunculan penasihat tentera Iran merumitkan lagi geopolitik dalam peperangan di Syria, yang menyaksikan peningkatan serangan udara oleh Russia termasuk di sekitar bandar Aleppo, bandar terbesar di Syria.
Duta Syria ke Russia, Riad Haddad, yang dipetik oleh media Russia sebagai berkata, akan berlaku pertempuran sengit dalam masa terdekat apabila tentera Syria bersiap sedia untuk merebut kembali bandar itu.
Beliau juga mengakui tentera Syria membuat serangan udara ke kawasan itu.
"Tentera kita yang dibantu pesawat Russia sedang mengelilingi bandar dan bersedia untuk merampas kawasan berkenaan," kata Haddad dalam satu temu bual dengan laman berita Gazeta.ru, hari ini. - CNN

No comments:

Post a Comment