Thursday 1 October 2015

Rusia lancar serangan udara pertama di Syria


AFP - GAMBAR yang dirakam semalam menunjukkan bangunan-bangunan rosak di bandar Talbisseh dalam wilayah Homs. Rusia melancarkan serangan udara di Homs pada hari yang sama.


MOSCOW – Rusia melancarkan sera­ngan udara buat kali pertama terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria semalam selepas Pre­siden Vladimir Putin (gambar kecil) menerima sokongan padu Kremlin untuk campur tangan bagi membantu rejim Presiden Ba­shar al-Assad.
Syria merupakan sekutu paling rapat Rusia di Asia Barat.
Sebilangan jet perang Rusia me­lancarkan beberapa sera­ngan udara di tiga wilayah negara itu bersama pesawat pejuang tentera Bashar, kata sumber ke­selamatan Syria.
“Pesawat Rusia dan Sy­ria melancarkan serangan udara ke atas kedudukan pengganas (IS) di wilayah Hama, Homs dan Latakia hari ini (semalam),” kata sumber itu.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, pengli­batan Moscow di Syria akan hanya melibatkan serangan udara dan bersifat sementara.
“Matlamat ketenteraan operasi kami ialah untuk memberi sokongan udara kepada tentera Syria dalam memerangi IS,” kata Ketua Staf Kremlin, Sergei Ivanov.
Wilayah Homs penting untuk Bashar dalam mengukuhkan penguasaannya di barat negara itu.
Sekiranya Homs jatuh ke tangan IS, kawasan barat Syria yang dikuasai Bashar akan terbahagi dua dengan Damsyik terpisah daripada bandar tepi pantai Latakia dan Tartous di mana Rusia mempunyai sebuah pangkalan tentera laut.
Rusia meningkatkan campur tangannya di Rusia selepas rejim Bashar mengalami banyak kekalahan sejak beberapa bulan lalu
“Rusia hanya bertindak untuk melindungi kepen­tingannya di Syria di mana kami memiliki sebuah pangkalan tentera laut di Tartous, satu-satunya akses kami ke Laut Medeiterranean,” ujar Ivanov.
Sebelum ini, pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) telah berulang kali mengebom IS di Syria dan Irag namun, Putin memperlekeh usaha AS untuk menamatkan perang di Syria pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Isnin lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3nGnq4v3J 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment