Thursday 1 October 2015

Saudi beri kata dua kepada Bashar


Saudi beri kata dua kepada Bashar

1 OKTOBER 2015
Saudi beri kata dua kepada Bashar Konflik berlarutan di Syria menyebabkan krisis kebanjiran pelarian di benua Eropah. Gambar kecil: Adel

RIYADH - ARAB SAUDI. Kerajaan Arab Saudi, kelmarin memberi kata dua kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad supaya berundur secara sukarela atau disingkirkan dengan campur tangan tentera.

Menteri Luar, Adel al-Jubeir berkata demikian ketika Perhimpunan Agung PBB di New York susulan mesyuarat diadakan bersama negara sekutu Saudi.

"Bashar tidak ada dalam masa depan di Syria. Hanya terdapat dua pilihan untuk menyelesaikan krisis di Syria.

"Pilihan pertama adalah melalui proses politik dengan menubuhkan majlis peralihan manakala pilihan lain adalah melalui campur tangan tentera," katanya.

Menurutnya, pilihan tentera akan mengambil masa lebih lama selain memberi kesan kemusnahan lebih besar.

"Segala pilihan kini terletak dalam tangan Bashar untuk menentukan nasib Syria," jelasnya lagi.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama turut menggesa Bashar supaya berundur bagi membolehkan matlamat utama mereka untuk memerangi kumpulan militan IS dapat dicapai.

"Saya percaya Syria memerlukan pemimpin baharu untuk menewaskan IS. Ia bukan peperangan konvensional tetapi kempen jangka masa panjang yang bukan hanya menyasarkan rangkaiannya malah ideologi mereka," katanya.  

Dalam satu kenyataan lain, Menteri Luar China mengulangi rayuannya supaya krisis tersebut diselesaikan melalui proses politik.

Wang Yi berkata, lima negara anggota tetap PBB sepatutnya bersatu dan mencari peluang untuk menyelesaikan konflik di negara itu.

"Kemajuan kepada penyelesaian politik tersebut akan menyumbang kepada sinergi lebih besar terhadap usaha antikeganasan.

"Rundingan antara pelbagai pihak di Syria perlu digalakkan dan usaha Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura perlu mendapat sokongan sepenuhnya," menurutnya. - Press TV

No comments:

Post a Comment