Friday 2 October 2015

Russia terus bedil penentang Assad



GAMBAR yang diambail dari laman web pertahanan Russia menunjukkan kesan serangan oleh pesawat pejuang Russia. - Foto EPA
BEIRUT: Pesawat perang Russia melancarkan serangan baharu terhadap penentang Presiden Syria, Bashar al-Assad hari ini ketika Moscow dan Washington membincangkan bagaimana mengelak daripada bertembung.
Ia adalah hari kedua Russia melancarkan serangan di Syria yang dilakukan menjelang pertemuan antara Presiden Vladimir Putin dan rakan sejawatannya dari Perancis, Francois Hollande di Paris.
Kementerian Pertahanan Russia menyatakan tentera udaranya membedil lima sasaran kumpulan IS ketika pegawai pertahanan Barat menyuarakan kebimbangan bahawa tentera Moscow menyerang pihak pemberontak.
"Kami sudah menghalang pejuang IS daripada mewujudkan semula pos perintah di negeri Hama yang sudah dimusnahkan," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov.
Menurut kementerian itu, kem latihan IS dan pos perintah di barat laut Idlib turut dibedil.
Putin pula menolak dakwaan bahawa orang awam terbunuh dalam serangan Russia dan menyifatkan laporan itu sebagai "peperangan maklumat".
Serangan udara itu dilancarkan ketika Russia membentangkan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan PBB yang akan memerlukan kebenaran Damsyik untuk serangan terhadap IS di Syria.
Washington sebelum ini menolak resolusi sama dan tiada tarikh ditetapkan untuk undian resolusi baharu. - AFP

No comments:

Post a Comment