Monday 30 November 2015

Britain diseru tidak sertai serang Syria



SEBAHAGIAN penunjuk perasaan yang membantah rancangan Britain menyertai serangan udara terhadap IS di Syria berhimpun di hadapan Downing Street, London kelmarin.- REUTERS

LONDON – Sekitar 5,000 orang mengadakan bantahan di London kelmarin bagi menentang kemungkinan Britain menyertai serangan udara di Syria selepas ramai ahli politik mahu serangan terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) diperluaskan. Perdana Menteri Britain, David Cameron menyuarakan saranan pada Khamis lali supaya jet pejuang Britain yang kini menyerang sasaran IS di Iraq, turut serta dalam operasi mengebom IS di Syria bersama Perancis, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. Satu undian di Parlimen untuk operasi di Syria itu dijangka diadakan seawal minggu ini dan ramai daripada ahli politik yang menentang langkah itu sebelum ini dipercayai telah menukar fikiran mereka susulan serangan berdarah di Paris pada 13 November lalu. Britain bagaimanapun masih belum pulih daripada igauan ngeri akibat penyertaan negara itu dalam perang di Afghanistan dan Iraq. Penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Jangan bom Syria’, ' Gugurkan Cameron, bukan bom’, dan ‘Jangan tuang minyak ke dalam api’. “Tragedi teruk berlaku di Paris tetapi menjadi tugas kerajaan untuk bertindak balas ke atasnya secara berhemah, bukannya dengan menyatakan mereka akan mengebom Syria," kata aktivis pertubuhan Perikatan Menghentikan Peperangan, Lindsey German. Bercakap di Malta kelmarin, Cameron mengulangi pendiriannya melancarkan serangan udara di Syria adalah ‘tindakan yang betul buat Britain’. Kira-kira 5,000 orang turut mengadakan bantahan serupa di Madrid, Sepanyol. Penduduk negara itu bimbang mereka akan kembali menjadi sasaran militan selepas Al-Qaeda mengebom sebuah kereta api di Madrid pada 2004 yang menyebabkan 191 orang terbunuh. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3svBr5GSz 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment