Kementerian Pertahanan melaporkan, pesawatnya melancarkan serangan terbesar setakat ini di Syria semalam dengan menjadikan kawasan kubu kuat IS iaitu di Raqqa sebagai sasaran utama.
“Serangan melibatkan 10 buah pesawat pejuang, pesawat berlepas dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan. Sebanyak 20 butir bom dilepaskan dalam serangan itu.
“Antara kawasan sasaran kami adalah depot simpanan senjata dan kem latihan,” jelas kementerian dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan lain, polis Perancis melancarkan lebih 150 serbuan di seluruh negara bagi menahan mereka yang dipercayai terlibat dalam kegiatan militan IS.
Polis berkata, hasil serbuan pihaknya turut merampas pelbagai jenis senjata antaranya pelancar roket, baju kalis peluru, senapang dan kelengkapan bertempur.
Namun, jumlah keseluruhan mereka yang diberkas tidak diberitahu.
Polis Perancis kini sedang memburu seorang lelaki kelahiran Belgium secara besar-besaran yang dipercayai membantu merancang serangan berdarah di sini bersama dua orang abangnya.
Sumber kehakiman berkata, salah seorang daripada abang suspek terbunuh ketika melancarkan serangan Jumaat lalu, manakala seorang lagi berada dalam tahanan polis Belgium.
Sementara itu, pendakwa raya Perancis, Francois Molins berkata, dua lagi pengebom berani mati dalam serangan di Paris telah dikenalpasti identiti mereka.
Katanya, mereka dikenali sebagai Ahmad Al Mohammad, 25, pemegang passport Syria dan warga tempatan Samy Amimour, 28.
Dalam perkembangan sama, media Belgium melaporkan, seorang rakyat negara itu dipercayai menjadi dalang utama di sebalik serangan di Paris dan kini sedang diburu oleh pihak polis.
Suspek kelahiran Maghribi dikenali sebagai Abdelhamid Abaaoud, 28, dan dia pernah menjadi perancang serangan pengganas yang digagalkan di Greece selain terlibat dalam kegiatan militan IS di Syria. – REUTERS/DPA