Sunday 13 December 2015

Amaran Putin pada Turki

Moscow: Presiden Vladimir Putin semalam berikrar untuk memodenkan lagi senjata Russia dan berkata, tenteranya di Syria akan serta-merta memusnahkan sebarang sasaran yang mengancam mereka.
Amaran itu dipercayai disasarkan kepada Turki berikutan tindakan Ankara menembak jatuh sebuah pesawat pengebom Russia di sempadan Syria bulan lalu.
Bercakap di satu mesyuarat dengan pemimpin kanan tentera, Putin berkata, usaha mengukuhkan senjata, termasuk pasukan strategik nuklear dan pelaksanaan program pertahanan udara adalah menjadi matlamat negara itu.
Tanpa menamakan Turki, Putin berkata, tentera Russia di Syria akan bertindak balas sepenuhnya terhadap sebarang provokasi.
Menurutnya, tentera Russia di pangkalannya di Syria sudah diperkukuhkan dengan menambah bilangan pesawat dan senjata pertahanan udara.
“Saya mengarahkan kamu (tentera Russia di Syria) supaya mengambil tindakan paling tegas. Sebarang sasaran yang mengancam kumpulan askar Russia atau infrastruktur negara kita perlu dimusnahkan serta-merta.”
Tindakan jet Turki menembak pesawat pengebom Russia pada 24 November lalu, yang pertama sebuah negara anggota Nato berbuat demikian dalam tempoh setengah abad, menjejaskan teruk hubungan Moscow-Ankara.
Turki mendakwa ia dilakukan selepas pesawat Russia itu mencabuli ruang udaranya walaupun selepas diberi amaran berulang kali sementara Moscow bertegas menyatakan, pesawat itu berada di ruang angkasa Syria.
Putin dalam ucapannya semalam juga berkata, kehadiran tentera Russia di Syria amat penting bagi melindungi negara itu daripada kumpulan militan yang berpangkalan di Syria dan berkata, usaha menangani ancaman itu menjadi matlamat utama kempen serangan udara Russia yang dilancarkan sejak 30 September lalu.
Katanya, tentera Russia yang membantu serangan askar Syria membantu mengubah situasi di negara itu.
Dia juga mendakwa Russia membantu beberapa unit Tentera Pembebasan Syria yang berusaha menggulingkan Presiden Syria Bashar Assad dalam memerangi Negara Islam (IS) di negara itu.
Katanya, bantuan itu diberikan dalam bentuk perlindungan udara dan membekalkan mereka dengan senjata.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:37 AM


ORANG awam dan petugas penyelamat mencari mangsa yang tertimbus selepas serangan di Aleppo, utara Syria, beberapa hari lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99694#sthash.V968laVl.dpuf

No comments:

Post a Comment