Tuesday 29 December 2015

Korban Homs

Beirut: Sekurang-kurangnya 32 terbunuh dan 90 cedera dalam dua letupan bom di Homs, semalam, lapor kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).
Satu letupan membabitkan bom kereta manakala yang kedua akibat serangan berani mati di kawasan Zahra di pusat bandar itu, kata SOHR yang memantau konflik menggunakan rangkaian pemberi maklumat di lokasi.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan dua bom kereta meletup tetapi memberi jumlah kematian awal lebih rendah iaitu enam orang dan 37 cedera.
Ia serangan kedua yang terbesar di bandar itu sejak gencatan senjata awal bulan ini yang membuka ruang untuk kerajaan menawan semula kawasan di Homs yang dipegang penentang.
Dua letupan pada 12 Disember lalu, juga di Zahra, mengakibatkan 16 orang terbunuh. Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab atas serangan itu yang didakwa menggunakan pengebom berani mati membawa kereta diisi letupan.
Sementara itu, ratusan pejuang dan orang awam dipindahkan dari dua kawasan di Syria berikutan perjanjian antara pihak bertelagah, disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata pekerja bantuan dan sumber terdekat.
Sekurang-kurangnya 130 pejuang penentang yang kebanyakannya cedera meninggalkan bandar Zabadani untuk ke sempadan Lubnan berhampiran, sementara 350 lagi pejuang dan orang awam dari bandar Syiah prokerajaan di barat laut Syria dibawa ke sempadan Turki.
Mengikut persetujuan itu, pejuang dari kumpulan Ahrar al-Sham dan penentang tempatan yang terperangkap di Zabadani sejak berbulan-bulan lalu dijanjikan laluan selamat ke lapangan terbang Beirut seterusnya ke Turki.
Pada masa sama, pejuang serta keluarga mereka di dua bandar Syiah di Idlib dibawa ke Turki sebelum diterbangkan ke Beirut.
Kebanyakan pejuang penentang berfahaman Sunni yang dihantar ke Turki akan dibenarkan kembali ke kawasan dipegang kumpulan berkenaan melalui sempadan di utara Syria atau terus mendapatkan rawatan perubatan jika diperlukan.
Pada masa sama, golongan berfahaman Syiah dibenarkan ke Lubnan di bawah penjagaan Hizbullah, sebelum kembali ke Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:06 AM




ORANG ramai memeriksa lokasi dua serangan bom kereta di al-Zahraa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103135#sthash.ocrmDwH8.dpuf

No comments:

Post a Comment