Tuesday 29 December 2015

4,000 penentang Bashar pindah


SEORANG lelaki cedera parah akibat serangan udara yang dilancarkan oleh tentera kerajaan di Hammuriyeh iaitu kawasan yang dikuasai pemberontak di pinggir Damsyik, Syria pada Khamis lalu. - AFP


DAMSYIK – Kira-kira 4,000 orang termasuk separuh daripadanya merupakan anggota pejuang pemberontak dipindahkan dari tiga daerah di selatan Syria sebagai sebahagian daripada pelan genjatan senjata, menurut sumber kepada AFP kelmarin.
Anggota daripada kumpulan Islamic State (IS) dan lawannya, Al-Nusra iaitu sekutu Al-Qaeda di Syria dilaporkan keluar dari daerah Qadam, Hajar al-Aswad dan kem Palestin di Yarmuk.
“Persetujuan itu dicapai de­ngan 4,000 anggota pejuang, orang awam, termasuk anggota Al-Nusra dan IS meninggalkan kawasan berkenaan mulai kelmarin,” ujar sumber kerajaan yang rapat dengan pasukan perunding.
Penentang kerajaan rejim Presiden Bashar al-Assad itu dikatakan dibawa menggunakan 18 buah bas ke bandar Raqa yang dikuasai oleh IS selain di Marea yang dikawal oleh Al-Nusra.
“Fasa kedua perjanjian itu akan menyaksikan pejabat kerajaan dibuka semula di kawasan-kawasan perumahan dan menjamin bekalan barangan keperluan ha­rian,” ujar sumber berkenaan.
Ini adalah kali pertama dalam masa lebih dua tahun apabila barang-barang keperluan dapat dibawa masuk ke tiga daerah di selatan Damsyik.
Pada April lepas, IS menyerang kem pelarian Yarmuk selepas bertempur dengan pejuang Al-Nusra untuk menguasai kawasan berkenaan. Kumpulan berkenaan kemudian me­nguasai bandar Qadam pada Ogos lalu selepas melancarkan serang­an berdekatan Hajar al-Aswad.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria memberitahu, perjanjian genjatan senjata tersebut dilakukan selepas rundingan selama dua bulan antara kerajaan Syria dan ketua-ketua daerah.
“Setiap seorang ahli kumpulan dibenarkan membawa bersama keluarga mereka, satu beg dan senjata milik sendiri,” ujar seorang ketua penduduk tempatan di Qadam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3vheK1Npu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment