“Sebanyak 11 anggota penentang daripada Barisan Al-Nusra (sekutu al-Qaeda) dan kumpulan penentang lain terbunuh semalam, bersama-sama lima penduduk awam, apabila sebuah peluru berpandu mengenai sebuah balai polis yang digunakan sebagai mahkamah di Salqin,” di wilayah Idlib, kata pemerhati hak asasi bagi Syria.
Kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Britain itu berkata, masih tidak jelas sama ada peluru berpandu itu dilancarkan oleh Rusia atau tentera Syria.
Kumpulan pemantau itu berkata, jumlah korban mungkin meningkat kerana ramai yang mengalami cedera parah dalam serangan itu.
Serangan peluru berpandu itu berlaku ketika kumpulan penentang Al-Nusra dan kumpulan militan konservatif Islam, Ahrar al-Sham mengadakan rundingan. Sebelum itu, berlaku pertempuran antara kedua-dua kumpulan terbabit di bandar itu pada hari yang sama.
Kedua-dua kumpulan itu menyertai pakatan Pasukan Tentera Penyerang, pakatan penentang yang menawan wilayah Idlib pada tahun lepas.
Awal Januari lalu, Rusia mengempur wilayah Idlib di kawasan sempadan Turki mengakibatkan sekurang-kurangnya 81 orang terbunuh, termasuk 23 anggota Al-Nusra dan 52 penduduk awam serta banduan.
Menurut pasukan pemerhati, lebih 1,000 penduduk awam terbunuh dalam serangan udara Rusia sejak Moscow menyertai kempen ketenteraan di Syria pada 30 September lalu.
Serangan udara Rusia itu turut membunuh hampir 900 anggota kumpulan militan Negara Islam (IS) dan lebih 1,100 anggota penentang kerajaan Syria daripada beberapa kumpulan penentang, termasuk Al-Nusra. - AFP