Thursday 28 January 2016

2.6 bilion orang tertindas




KUMPULAN imigran berbaris untuk pemeriksaan keselamatan selepas merentasi sempadan Macedonia ke Serbia, berhampiran kampung Miratovac kelmarin.- AFP


NEW YORK – Lebih sepertiga populasi dunia atau bersamaan 2.6 bilion orang tinggal di negara dan wilayah yang dibelenggu penindasan, rasuah dan pencabulan hak asasi, demikian menurut badan demokrasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Freedom House.
Situasi paling teruk berlaku di Syria, Tibet dan Somalia.
Menurut laporan tahunan Freedom House, 2015 dipenuhi migrasi besar-besaran, kekerasan oleh pemerintah ke atas penentang, xenofobia dan serangan keganasan.
Kesemuanya menyumbang kepada penurunan kebebasan global selama 10 tahun berturut-turut, kata Freedom House.
Di seluruh dunia, 86 negara dan wilayah ditetapkan sebagai bebas berdasarkan hak politik dan kebebasan awam, 50 dianggap tidak bebas, dan 59 separa bebas.
Sebahagian besar penduduk yang tertindas tinggal di Asia Barat dan Afrika Utara. Dua rantau berkenaan menyaksikan 85 peratus penduduknya hidup tertekan akibat penindasan.
Laporan sama menyifatkan AS sebagai bebas, manakala tahap kebebasan di 72 negara menurun pada 2015, penurunan tertinggi sejak 10 tahun lalu.
Sebanyak 43 negara mencatat peningkatan kebebasan termasuk Burkina Faso, Myanmar, Nigeria dan Sri Lanka yang kesemuanya melaksanakan pilihan raya.
“Di kebanyakan negara dengan kerajaan kuku besi, kekurangan hasil akibat kejatuhan harga komoditi mendorong pemerintah meningkatkan penindasan politik dalam negara dan mengecam musuh asing.
“Negara demokratik pula mengalami tekanan akibat serangan pengganas dan peningkatan mendadak jumlah pelarian akibat konflik serantau seperti perang saudara Syria,” kata timbalan presiden bahagian penyelidikan Freedom House, Arch Puddington.
Secara keseluruhan, berpuluh-puluh negara dan wilayah dengan markah paling teruk termasuk Korea Utara, Uzbekistan, Eritrea, Turkmenistan, Sahara Barat, Sudan, Republik Afrika Tengah, Equatorial Guinea dan Arab Saudi.
– REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3yUOoVnCl 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment