Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklukan, serangan pertama membunuh sebanyak 29 orang awam termasuk sembilan wanita dan tiga orang kanak-kanak di perkampungan dikuasai IS di timur wilayah Deir Ezzor.
Serangan kedua pula meragut 15 nyawa termasuk lima beradik di bandar al-Bab, sebuah kubu IS di wilayah Aleppo.
Jelas badan itu, berpuluh-puluh orang turut cedera dalam serangan tersebut.
Pertubuhan yang beribu pejabat di Britain dan bersandarkan maklumat kepada rangkaian aktivis di Syria itu memberitahu, jet Rusia tersebut dikenal pasti menerusi corak serta jenisnya termasuk kelengkapan yang digunakan pesawat.
Rusia mula melancarkan serangan udara di Syria sejak September tahun lalu bagi menyokong pemerintahan Presiden Bashar al-Assad, manakala tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) mula menyerang kedudukan IS di Syria dan Iraq sejak 2014.
Sokongan ketenteraan Rusia membantu tentera Bashar mara sejak beberapa bulan lalu dan menurut badan pemantau itu, tentera kerajaan meluaskan penguasaan sehingga lapan kilometer dari al-Bab.
Kedudukan itu paling hampir pernah dicapai tentera kerajaan di bandar berkenaan, kubu utama IS di Aleppo sejak 2012.
Al-Bab kira-kira 30 kilometer dari selatan sempadan Turki jatuh ke tangan penentang pada Julai 2012 sebelum IS mengambil alih penguasaan di kawasan tersebut pada 2013.
Badan pemantau itu pada minggu lalu melaporkan, serangan udara Syria membunuh lebih 1,000 orang awam termasuk 200 orang kanak-kanak. – AFP