Saturday 23 January 2016

45 lagi mati lemas

Athens: Sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk kanak-kanak mati lemas di Laut Aegean semalam apabila dua bot membawa pendatang karam di luar pantai dua pulau berlainan di Greece.
Pasukan pengawal pantai Greece dan beberapa bot lain berjaya menyelamatkan lebih 70 orang.
Dalam kejadian pertama di timur Laut Aegean, sebuah bot kayu membawa 49 pendatang karam di Farmakonissi, sebuah pulau kecil.
Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dan menemui lapan mayat yang terapung di laut - enam daripadanya kanak-kanak dan dua lagi wanita.
Beberapa jam kemudian, sebuah lagi bot kayu membawa pendatang yang tidak diketahui jumlahnya, karam di luar pantai Kalolimnos yang terletak di selatan Farmakonissi.
Pengawal pantai menyelamatkan 22 lelaki dan empat wanita serta menemui 34 mayat, 16 daripadanya wanita, tujuh lelaki dan 11 kanak-kanak.
Seorang mangsa yang terselamat memberitahu wartawan, enjin bot berkenaan rosak kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan), lima jam selepas berlepas dari Izmir di Turki.
Bercakap di pulau Kalymnos, dia berkata, kira-kira 80 orang berada di dalam bot itu selepas membayar AS$2,500 (RM10,680) seorang dan setengah harga itu untuk kanak-kanak untuk dibawa ke Greece.
Agensi berita Turki, Anadolu berkata, pasukan pengawal pantai negara itu menyelamatkan enam orang di kawasan tempat dua kemalangan itu berlaku dan menemui tiga mayat.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa menganggarkan kira-kira 31,000 pendatang tiba di Greece melalui jalan laut setakat tahun ini dengan harapan dapat memulakan kehidupan baru di Jerman, Sweden atau negara EU lain.
Pertubuhan itu juga melaporkan, 77 orang mati ketika dalam pelayaran menyeberang Mediterranean antara 1 dan 17 Januari lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:04 AM


SEKUMPULAN pendatang turun dari bot getah yang mereka naiki setibanya di pantai Pulau Chios, Greece, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109439#sthash.x4qKNCuM.dpuf

No comments:

Post a Comment