PBB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik kebenaran kerajaan Syria memasuki tiga buah bandar di Madaya, Fuaa dan Kafraya bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan dalam masa terdekat.
Badan dunia itu berkata, terdapat laporan menyatakan sejumlah penduduk maut akibat kebuluran termasuk seorang lelaki berusia 53 tahun, yang dilaporkan meninggal dunia empat hari lalu.
Sekurang-kurang 10 orang meninggal dunia akibat kelaparan menurut laporan Badan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria, manakala 13 yang lain yang cuba melarikan diri untuk mencari makanan terkorban selepas mereka terpijak periuk api atau ditembak oleh penembak hendap.
Ketiga-tiga bandar itu adalah sebahagian daripada perjanjian menamatkan pertempuran sebagai pertukaran penyaluran bantuan kemanusiaan selama enam bulan yang dicapai pada September lalu.
Kebenaran untuk memasuki ke bandar Madaya yang berhampiran Zabadani itu dikawal ketat oleh tentera manakala bandar Fuaa dan Kafraya pula terletak di barat laut Syria itu dikepung oleh anggota penentang kerajaan.
Seorang wartawan komuniti, Maaz al-Qalamuni berkata, penduduk menyambut baik berita penghantaran makanan berkenaan namun kebanyakannya sukar mempercayainya kerana bantuan berkenaan tidak dihantar sebelum ini.
“Ketika berita itu diumumkan, beberapa penduduk melepaskan tembakan sebagai tanda meraikan berita tersebut, tetapi kebanyakan mereka masih menunggu untuk melihat ketibaan makanan bagi mempercayainya,’’ katanya ketika dihubungi AFP.
Menurut kenyataan daripada pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, bandar Madaya tidak menerima bantuan kemanusiaan sejak Oktober lalu walaupun banyak permintaan dibuat.
Kira-kira 40,000 orang, kebanyakan orang awam tinggal di Madaya, wilayah Damsyik dengan kebanyakannya kehilangan tempat tinggal selepas Zabadani menjadi kubu kuat penentang kerajaan. – AFP